Media Arus Perdana Malaysia Tidak Dikawal Seketat Media Singapura

RABU, 12 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Dis 2012 – Media arus perdana di Malaysia diberi kelonggaran yang lebih berbanding dengan media seumpama di Singapura.

Seorang wartawan dan pengarang yang berpengalaman lama bekhidmat di kedua buah negara berkata republik itu mempunyai banyak peraturan ketat untuk menghadkan kritikan atau teguran terhadap kerajaan dan pemimpin tertentunya.

Pengarah Eksekutif Persatuan Wartawan Asia – Singapura, Dr Norman Suratman yang telah berkhidmat sebagai wartawan di sekitar rantau ini selama 23 tahun berkata demikian dalam wacana yangbertajuk Kewartawanan Islam; Kontemporari dan Silam.

Ia dianjurkan oleh Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau mendapati lebih menyenangkan bertugas sebagai wartawan di Malaysia berbanding Singapura. Semua akhbar arus perdana di republik itu dimiliki dan dikawal oleh parti pemerintahnya, People’s Action Party(PAP).

Dengan itu mereka tidak berani melaporkan ulasan dari ahli-ahli politik pembangkang serta kritikan kerana wujudnya undang-undang media yang mengongkongkan di Singapura.

Ahli-ahli politik pembangkang terkenal seperti Joshua Benjamin Jeyaretnam dan Chee Soon Juan, di antara yang lain, telah  didakwa bersabit fitnah oleh ahli politik kerajaan di bawah undang-undang ketat Singapura. Mereka didapati bersalah dengan dikenakan denda beratus ribu dolar Singapura hingga diisytiharkan muflis.

Tang Liang Hong, seorang lagi ahli politik pembangkang dan bekas peguam, juga dituduh fitnah oleh ahli politik kerajaan pada tahun 1997. Beliau telah disabitkan dan akhirnya juga terpaksa muflis.

Tang kemudian meninggalkan Singapura untuk menetap di Australia. Pada tahun 1990-an, seorang lagi ahli Workers Party, Gopalan Nair meninggalkan Singapura dan berjaya mendapat suaka politik di Amerika Syarikat.

Dr Norman berkata tindakan berleluasa mengheret pengkritik ke mahkamah berdasarkan undang-undang fitnah hanya membantutkan perkembangan media.

Mengenai media sebagai alat oleh pihak pemilik, Dr Norman berkata Malaysia, Singapura dan banyak negara membangun mengamalkannya. Di Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Itali, umpamanya, Akhbar dan televisyen didalangi ahli perniagaan seperti Rupert Murdoch, Lord Maxwell, Silvio Berlusconi dan lain-lain.

Dr Norman berharap wartawan dan media yang dimiliki orang Islam menyalurkan maklumat yang diperolehi melalui ciri-ciri Islam, iaitu mendapatkan maklumat secara jujur dan bukannya dengan tipu muslihat. Bagi kewartawanan ala Barat, penipuan dan kepalsuan menjadi perkara biasa untuk mendapat “scoop”.

Beliau menyifatkan wartawan Islam sebagai pemegang amanah untuk orang awam.

Dr Norman dilahirkan di Singapura pada tahun 1964 dan menerima pendidikan awal di republik itu tetapi bersekolah menengah di Malaysia hingga tingkatan enam. Beliau melanjutkan pendidikan di Nanyang University di Singapura, yang kini Nanyang Technological University.

Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam syarikat induk media, Singapore Press Holdings (SPH) dan membuat liputan di Malaysia dan Singapura. Beliau juga ditugaskan di negara ASEAN lain.

Dr Norman kemudiannya telah melanjutkan pelajarannya di UKM dengan memperoleh Ijazah Sarjana dan PhD dalam kajian Media dan Komunikasi semasa.

Beliau telah menerbitkan autobiografinya serta beberapa buah novel, serta menyunting hasil karya penulis lain. Beliau kini adalah seorang wartawan bebas.