Pelajar MRSM Jasin Mendapat Pengalaman Menyelidik

SELASA, 18 DISEMBER 2012 08:41

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Badrul Nizam, FST

BANGI, 14 Dec 2012 – Buat kali pertamanya sebuah universiti awam tempatan memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk melakukan penyelidikan sebenar menggunakan kemudahan di kampus untuk membolehkan mereka mengalami alam penyelidikan sains.

Satu rombongan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka mengguna masa hampir seminggu untuk membuat kajian mereka ihsan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program ini yang diselia oleh Timbalan Dekan FST, Profesor Dr Mohamad Deraman (Industri dan Jaringan Masyarakat). Ia melibatkan 48 orang pelajar tingkatan 4 yang dibimbing oleh penyelidik pasca-siswazah FST bagi projek-projek yang mempunyai aplikasi sebenar.

Prof Mohamad berkata UKM, yang menanggung kebanyakan kos program ini, berharap pelajar yang mengikuti program itu akan menjadi lebih berdaya saing serta mempunyai fikiran yang inovatif apabila mereka akhirnya pergi ke universiti di dalam atau luar negara.

Persaingan adalah faktor utama inovasi yang boleh memberi semangat keusahawanan.Beliau berharap pelajar itu akan menjadi pereka dan penyelidik pada masa akan datang disamping menggalakkan mereka memiihnya sebagai kerjaya mereka nanti.

Satu pertandingan dilangsungkan semasa tempoh program, dari 9 Disember – hari mereka tiba dari Jasin dan berakhir hari ini dalam majlis penutup di mana keputusan diumumkan dan pingat disampaikan kepada pemenang.

Pelajar-pelajar dibahagikan kepada 22 projek yang dicadangkan oleh penyelidik UKM. Mereka boleh pilih projek dan menyiapkannya sebelum tamat tempoh.

  
Antara projek-projek yang dikendalikan ialah krim pelembap yang diberbuat daripada sireh, penghalau nyamuk yang dihasilkan daripada bunga, bar-kod DNA dan mengasingkan fosforous daripada makanan. Semua perkara itu tidak pernah dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah.

Hadiah pertama dimenangi oleh kumpulan yang mengguna polimer penyerap sebagai pengganti baja. Tempat kedua jatuh kepada pelajar-pelajar yang mencipta sejenis pencuci pinggan yang murah dan cepat yang tidak menggunakan air.

Ketua rombongan pelajar, Suhaili Ali yang juga guru sains, MRSM Jasin gembira pelajar-pelajarnya bersemangat menghadapi cabaran itu.

Beliau mulanya khuatir pelajar-pelajarnya akan berputus asa kerana melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan. Ia juga melebihi kurikulum sekolah.

Encik Suhaili berkata pelajar-pelajar MRSM Tun Ghafar Baba pernah mengambil bahagian dalam pesta sains di luar negara, umpamanya tahun ini mereka melawati Azerbaijan, Romania, Turki, Kenya, Thailand dan Hong Kong.

Kumpulan pelajar itu akan menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Menengah (SPM) tahun depan.