Pesta Juadah Antarabangsa UKM Mendapat Sambutan Luar Biasa

ISNIN, 17 DISEMBER 2012 09:15

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Dis 2012 – Pesta Juadah Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke empat hari ini mendapat sambutan luar jangka hinggakan sesetengah makanan yang disedaikan habis dalam tempoh singkat.

Pelajar-pelajar antarabangsa UKM dipelawa menghidangkan juadah negara masing-masing untuk selera pengunjung yang berlangsung di Dewan Gemilang di kampusnya di sini hari ini.

Pesta ini dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A. Karim yang memuji pelajar antarabangsanya kerana kegigihan mereka menyediakan pelbagai juadah untuk rakan-rakan dan pelawat.

Turut hadir Pengarah Pusat Pengajian Umum, Prof Dr Khairul Anwar Mastor; Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa, Prof Madya Dr Marlyna Maros dan Pengarah Program Pesta Juadah Antarabangsa, Prof Madya Dr Fazilah Idris.

Negara-negara yang mengambil bahagian terdiri dari Iran, Iraq, Brunei Darussalam, China, Jordan, Bukina Farso, Oman, Arab Saudi, India, Afghanistan, Libya, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia.

Ia dianjurkan untuk memperkenal dan menghidangkan pelbagai makanan tradisional pelajar asingnya dan dalam masa yang sama membolehkan cara memasak makanan itu dipamerkan.

 
Seorang peserta yang bersemangat mempromosi juadah negaranya ialah Abdullah Ibni Muhammad dari Jordan. Abdullah, 24 tahun, berkata pesta itu amat sesuai bagi sebuah universiti yang kosmopolitan seperti UKM.

Beliau dan isteri membantu menyediakan kuih-muih tradisional Jordan, manakala rakan-rakan senegaranya memasak Nasi Pulo dan Kambing. Di antara juadah lain dari Jordan ialah Kapsa atau Nasi Ayam, Tabilla atau sayur campur yang dicincang dan Magrubah, iaitu kuih yang diperbuat daripada keju.

Pesta itu memberi ruang kepada pelajar antarabangsa itu mempromosikan tempat-tempat menarik dalam negara masing-masing untuk menarik pelancong.

Matlamat utama Pesta Juadah itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar dan warga UKM bergaul dan mengeratkan hubungan sosial antara mereka.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk pameran maklumat negara, pameran makanan tradisional, pertunjukan masakan makanan tradisional pelbagi negara itu serta persembahan tarian, nyanyian serta bacaan puisi oleh pelajar asing.