Pilihanraya Israel Akan Membawa Kekejaman Lebih Teruk Ke Atas Palestin

RABU, 26 DISEMBER 2012 09:52

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 13 Dis 2012 – Rakyat Palestin berkemungkinan besar akan menghadapi penderitaan yang lebih teruk menjelang pilihan raya umum di Israel pada 24 Januari nanti.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin di Malaysia (PCOM) khuatir kempen pilihan raya yang berterusan di Israel akan memberi peluang kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mencetuskan lebih banyak penempatan Yahudi di wilayah Palestin dan melanjutkan serangan terhadap penempatan Arab.

Wakil PCOM Mohammad Al-Herbawi berkata ahli-ahli politik Israel menggunakan sengketa dengan Gaza dan rampasan tanah Palestin untuk diberi kepada pendatang Yahudi sebagai gimik menjadi popular menjelang pilihan raya di Israel. Malahan Netanyahu akan menggunakan Palestin sebagai kambing hitam bagi masalah ekonomi rejim Tel Aviv, kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam forum mengenai penderitaan rakyat Palestin dibawah penguasaan Israel, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Forum itu dianjurkan oleh siswazah Fakulti Undang-Undang UKM.

Al-Herbawi berkata serangan udara pada bulan Disember oleh Israel di kawasan padat dengan penduduk menunjukkan bahawa Netanyahu semakin terdesak untuk terus berkuasa berikutan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberikan Palestin status negara pemerhati.

Walaupun pengundian Perhimpunan Agung itu tidak memberikan status negara berdaulat, ia bermakna Palestin kini berhak membuat aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Ia juga bermakna kedudukan Palestin di PBB sama dengan Taiwan dan Vatican City.

Beliau berkata Netanyahu dan ahli politik pelampau lain di Israel amat marah dengan kejayaan Palestin di PBB hinggakan mereka meningkatkan serangan udara ke atas Gaza yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa penduduk Palestin yang tidak berdosa.

Menjelang pilihanraya Israel, rakyat Palestin yang terus tinggal di kawasan mereka menghadapi keganasan regim Zionis di samping ancaman daripada peneroka Yahudi yang idamkan tanah Arab.


Menjelaskan tuduhan kononnya Hamas melancarkan roket ke Israel, Al-Herbawi berkata ia adalah reaksi kepada pembunuhan pemimpin Hamas, Ahmad Jabari dalam serangan peluru berpandu pada 15 November, tanpa sebarang provokasi. Israel, katanya, tidak menghormati gencatan senjata yang ditaja oleh Presiden Mesir, Mohammad Morsi yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak di Kahirah dua hari sebelum itu.

Al-Herbawi juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sokongan padu kepada perjuangan Palestin, seperti bantuan pre-kemanusian yang dihantar melalui jalan raya dan laut.

Al-Herbawi meninggalkan Gaza buat kali pertama pada tahun 2006 untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini. Selepas menerima ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kimia, beliau kini melanjutkan pengajian sarjananya di situ.

Pensyarah fakulti Undang-undang UKM, Dr Salawati Mat Basir memberitahu forum itu mengenai lawatannya ke Gaza baru-baru ini dan niat sebenar rejim Tel Aviv serta telah melihat strategi tertentu rejim Yahudi di Gaza.

Beliau berkata serangan dan keganasan Israel sudah begitu rutin hinggakan masyarakat antarabangsa akan menerima berita sengketa antara Palestin dan Israel sebagai perkara biasa sahaja.

Pencabulan undang-undang Antarabangsa oleh Israel menjadi begitu kerap dan lama kelamaan, rejim zionis berharap kebanyakan orang di Eropah dan Amerika akan lupakan sahaja tuntutan Palestin, kata Dr Salawati.