UKM Membuktikan Perniagaan Bukan Hanya Untuk Mendapatkan Keuntungan

ISNIN, 10 DISEMBER 2012 00:00
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Raai Othman

BANGI, 7 Dis 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan bahawa usaha menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk mendapat keuntungan, tetapi boleh membantu masyarakat yang miskin tegar.

Penerima Anugerah Nobel dan Laureate Bermestautin UKM Profesor Dr Muhammad Yunus berkata UKM telah membuktikan bahawa Perniagaan Sosial juga bebaloi.

Ketika melancar Pusat untuk Kemajuan Perniagaan Sosial UKM Yunus (UKM – Yunus CASB) pada majlis makan malam Pendana di Bangi malam ini, Prof Yunus berkata perusahaan perniagaan sosial memerlukan tumpuan kepada penyelesaian masalah sosial dan bukan mencari keuntungan semata-mata.

Tabung UKM – Yunus CASB juga telah dilancarkan pada majlis makan malam itu yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED-UKM). Turut hadir Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Prof Yunus berkata, langkah pertama ke arah menyelesaikan banyak masalah yang menyusahkan penduduk dunia masa kini adalah untuk mengatasi keghairahan untuk membuat duit.

Masalah dunia tidak akan dapat diselesaikan selagi ramai masih memberi keutamaan kepada usaha mencari keuntungan, tambah beliau.

Prof Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006 dan pengasas Grameen Bank di Bangladesh, berkata universiti menyediakan banyak peluang bagi remaja untuk memanfaatkan perusahaan perniagaan sosial.

Walaupun keuntungan adalah suatu ganjaran, tetapi membuat orang lain gembira adalah usaha insentif yang lebih besar. Malah, membuat orang lain gembira adalah kebahagiaan paling agung, katanya.

Beliau mengesyurkan golongan remaja dibenarkan untuk mencuba kedua-dua pengalaman mencari keuntungan dan berbakti kepada masyarakat kurang berada dan kemudian membuat keputusan yang terbaik jalan mana yang mereka mahu tujui.

Beliau berharap UKM – Yunus CASB akan memainkan peranan besar menyokong dan memangkinkan perniagaan sosial di Malaysia dengan mengimbas kembali inisiatif perniagaan sosial yang berjaya dilaksanakan di Bangladesh.

Ini termasuk kerjasama dengan syarikat makanan Perancis Danone untuk menangani masaalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak miskin negara itu serta perkongsian dengan Adidas untuk menyediakan kasut untuk orang miskin di sana.

Beliau menceritakan bagaimana Grameen bekerjasama dengan Kumpulan Danone untuk mewujudkan dadih yang diperkaya dengan zat mikronutrien untuk menambah zat makanan. Dadih dihasilkan dengan tenaga solar dan gas bio dan disajikan dalam pembungkusan mesra alam.

Dalam usaha lain, Grameen dan Veolia Water bekerjasama untuk menghasilkan air yang selamat diminum untuk penduduk kampung di bahagian termiskin Bangladesh, di mana, atas sebab-sebab geologi, hampir semua air bawah tanahnya tercemar dengan racun arsenik.

Apabila Adidas bertanya beliau apakah cogankata untuk mempromosi syarikat itu di seluruh dunia, dia membalas dengan kata-kata, “Tiada siapa di dunia harus hidup tanpa kasut,” dan mencabar mereka untuk membuat kasut yang kosnya hanya satu Euro, atau RM3 sepasang. Mereka pada mulanya enggan menerima cabaran itu tetapi akhirnya tampil dengan produk yang berharga kurang daripada satu Euro.

Prof Yunus dilahirkan pada tahun 1940 dan mencebur diri dalam sektor perbankan. Beliau mulanya bertugas sebagai seorang profesor ekonomi di mana beliau telah mengilham dan memulakan konsep kredit mikro dan kewangan mikro.

Pinjaman ini diberikan kepada usahawan miskin tegar yang tidak boleh mendapat pinjaman dari bank. Pada tahun 2006 Prof Yunus dan Grameen menerima Hadiah Nobel Keamanan “atas usaha mereka melalui Kredit Mikro untuk mewujudkan pembangunan ekonomi dan sosial”.

Beliau sejak itu telah juga menerima berbagai penghormatan serta kepujian antarabangsa lain.