Ulama Syria Ceritakan Kekejaman Teruk Dilandai Rakyat Sunninya

RABU, 26 DISEMBER 2012 11:39

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 20 Dis 2012 – Wanita dan kanak-kanak Syria dirogol di hadapan suami dan bapa mereka malah perbuatan melampau demikian turut dilakukan di dalam masiid ahli Sunnah wal Jamaah.

Malah ramai antara mereka disembelih tiap hari namun mereka tidak menerima bantuan atau perhatian sewajarnya dari dunia termasuk dari media.

Pandangan ini diluahkan oleh Pengerusi Majlis Ulama Syria, Sheikh Muhammad Ali Al Sabuni dalam satu ceramahnya di sini hari ini mengenai kekejaman yang sering terpaksa di tanggung rakyat Sunni di Syria.

Ulama berusia 83 tahun itu berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menyeru mendapatkan bantuan dari rakyat Malaysia.

Beliau berkata kekejaman yang dilakukkan ke atas rakyat fahaman Sunni oleh regim syiah Bashir Al Assad adalah jauh lebih teruk dari apa yang di lakukan Israel ke atas rakyat Palestin.

Syeikh Muhammad Ali berkata seramai 60,000 rakyat Palestin telah gugur syahid dalam tempoh 60 tahun tetapi jumlah kematian yang sama tercapai hanya dalam masa dua tahun penindasan di Syria. Itu pun adalah angka rasmi padahal angka tak rasmi berjumlah 5 kali gandanya.

Beliau berpendapat penindasan ke atas rakyat Syria tidak mendapat perhatian kerana tumpuan diberikan kepada isu keganasan zionis di Palestin. Umat Islam tidak merasakan membantu rakyat Syria adalah lebih penting ataupun sama penting dengan membantu mereka di Palestin.

Syeikh Muhammad Ali berkata rakyat Syria memerlukan lebih dari sekadar wang ringgit dan doa, malah memerlukan setiap Umat Islam di dunia bersatu untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa di Syria.

Situasi di Syria bukanlah satu konflik antara Syiah dan Sunni kerana konflik menggambarkan dua pihak yang sama kuat bertelagah. Tetapi di Syria, rakyat yang lemah dibunuh dengan kejam hanya kerana mereka berfahaman Sunni.


Beliau berkata tidak ada satu pun Masjid Sunni yang terselamat dari dibedil oleh tentera rejim yang dibantu oleh Iran manakala mereka yang cedera dibiarkan dalam kesakitan hingga meninggal kerana tidak ada hospital yang sanggup merawat kaum Sunni.

Ahli keluarga sendiri tidak berani membantu kerana mereka akan diburu dan dibunuh. Mereka cuma mampu berharap, agar yang tercedera teruk akan mati dengan mudah.

Seorang hadirin dari Palestin membantah pandangan itu kerana khuatir rakyat Paestin pula akan dilupakan. Bagaimana pun seorang doktor Palestin yang pernah berkhidmat di barisan hadapan di Gaza, Dr Abu Anas berkata situasi di Syria sememangnya jauh lebih buruk.

Di Gaza rakyat Palestin berdepan dengan askar Israel yang pengecut yang hanya berani menyerang dari udara. Tetapi di Syria kaum Sunni dibunuh dalam rumah mereka sendiri dengan anak-anak mereka disembelih di hadapan mata sendiri.

Mereka tidak mempunyai makanan dan kanak-kanak mati kesejukan tanpa menerima bantuan perubatan dan sentiasa pula diburu seperti binatang.

Beliau bersetuju dengan Syeikh Muhammad Ali bahawa buat masa sekarang mereka di Syria lebih memerlukan bantuan.

Bagaimana pun Syeikh Muhammad Ali berkata beliau tidak menganjurkan rakyat Malaysia memilih antara Palestin atau Syria tetapi hanya mahu memperbetulkan pandangan bahawa umat Islam tidak menghadapi kekejaman di Syria.

Ceramah itu dianjurkan oleh Institut Kajian Asia Barat dan dihadiri lebih dari 200 pelajar dan pensyarah.