Pelajar UKM Naib Johan Peringkat Antarabangsa Di Pertandingan Chem E Car

KHAMIS, 01 MAC 2012 08:35

Foto Ikhsan Jabatan Kejuruteraan Kimia

BANGI, 28 Feb. 2012 – Pasukan dari Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah mengharumkan nama UKM dan negara apabila dinobatkan sebagai naib johan bagi kategori ketepatan (precision) kereta di pertandingan peringkat antarabangsa “Chevron Chem E Car Competition” di Singapura minggu lalu.

Pertandingan itu disertai 16 pasukan dari institusi pengajian tinggi dari Singapura, Iran dan Taiwan selain Malaysia dan berlangsung sempena Persidangan Gabungan Kejuruteraan Kimia Asia Pacific ke 14 di Polytechnic Singapore.

Pasukan itu terdiri daripada Cheong Jiun Soon sebagai Ketua, Ong Kah Chien, Yap Jun Sheng dan Lee Pak Hoe dan diselia oleh Dr Mohd Shahbudin Masdar.

Mereka dipilih mewakili Malaysia setelah berjaya menjuarai pertandingan Chem E di peringkat kebangsaan ke tujuh yang diadakan di Universiti Teknologi Petronas pada 17 Mac 2011 anjuran Institut Jurutera Malaysia. Mereka telah menumpaskan lebih 30 kumpulan dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pasukan UKM itu diberi nama “Greenie Energizer” telah menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai sebanyak USD700. Johan pertandingan dalam kategori itu dimenangi pasukan Nanyang Polytechnic, Singapura yang menerima hadiah wang tunai USD1000.

Pasukan dari Universiti Teknologi Petronas pula memenangi kategori baru diperkenalkan, iaitu kelajuan kereta manakala satu lagi kategori, iaitu pertandingan poster dimenangi juga oleh pasukan dari Nanyang Polytechnic, Singapura.

Pertandingan Chem E Car merupakan pertandingan tahunan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa anjuran institut jurutera di serata dunia khusus untuk pelajar kejuruteraaan kimia.

Ia merupakan suatu pertandingan mereka cipta bagi menguji kemampuan dan daya kreativiti pelajar kejuruteraan kimia.

Kejohanan itu memberi peluang kepada pelajar menyertai suatu cabaran dalam mereka cipta dan membentuk sebuah kereta mini yang digerakkan oleh sumber kuasa menggunakan tindak balas kimia.

Ia memperlihatkan kemampuan pelajar mengawal sesuatu tindak balas kimia. Kemenangan bergantung kepada kereta yang berhenti menghampiri atau di garisan tamat yang telah ditentukan dengan membawa beban tertentu.

Dengan bantuan Institut Sel Fuel yang menyumbang teknologi sel fuel, pasukan UKM itu menggunakan teknologi sel fuel sebagai kuasa tindak balas kimia untuk menghasilkan kuasa elektrik seterusnya menggerakan kereta mini mereka.

Di dalam teknologi sel fuel, hidrogen di bahagian anod dan oksigen (udara persekitaran) bahagian katod akan bertindak balas menghasilkan tenaga elektrik dan juga air dengan bantuan pemangkin.

Dengan mengawal kadar alir gas hidrogen dari tangki kecil hidrogen melalui injap pengawal, kereta mini mereka boleh bergerak berdasarkan beban dan juga jarak yang ditentukan. Mereka berjaya ditempat kedua setelah tamat hanya 0.6 meter dari garisan yang ditentukan serta beban 300 ml air.

Penyelia mereka, Dr Mohd Shahbudin Masdar berkata pertandingan seperti itu bukan sahaja memupuk kemahiran insaniah pelajar malah menaikkan jati diri dan semangat pelajar yang mewakili UKM dan juga selaras dengan aktiviti penyelidikan tindakan strategik (PTS) UKM.

Dr Shahbudin berterima kasih kepada semua warga fakulti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung selain pentadbir Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Institut Sel Fuel serta UKM atas kerjasama, sokongan dan bantuan hingga membolehkan mereka menyertai pertandingan baik diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa.