Sumbangan UKM Menyedarkan Masyarakat Terhadap Alam Sekitar Dihargai Kerajaan Sabah

KHAMIS, 09 FEBRUARI 2012 12:04

Oleh:Abd Razak Hussin
Foto oleh Hazmi, UMS

RANAU SABAH, 8 Feb. 2012 – Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar khususnya di Daerah Ranau ini mendapat penghargaan kerajaan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun menyatakan penghargaan itu ketika merasmikan Seminar Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Ranau di Dewan Masyarakat di sini semalam.

Daerah Ranau yang lebih dikenali dengan industri pelancongan tanah tinggi di Kundasang di mana terletaknya Gunung Kinabalu, harus diberi perhatian memandangkan banyak isu alam sekitar yang sedang dihadapi.

Dalam ucapan yang sebahagian besarnya disampaikan dalam bahasa Dusun, Datuk Masidi mengatakan antara isu alam sekitar yang membimbangkan khususnya di Kundasang ialah tanah runtuh dan gelinciran disebabkan fenomena alam semula jadi selain pembukaan tanah dan penebangan pokok untuk pertanian dan pembinaan hotel, chalet dan rumah tumpangan.

Keadaan tanah di Kundasang, katanya, tidak stabil dan semua yang terlibat dalam industri pelancongan dan pertanian tanah tinggi harus mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan selain mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebelum menjalankan sesuatu projek.

Tragedi yang menimpa sebuah penempatan peranginan di Kundasang pada tahun lalu perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak, ujar beliau.

Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Ranau termasuk seminar oleh Kumpulan Penyelidikan Pemuliharaan Tanah UKM dengan kerjasama Kerajaan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Pelajaran Daerah Ranau dan Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (IKLIM) UKM.

Datuk Masidi berkata kerajaan negeri berhasrat menimbulkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar Sabah yang menjadi destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Seminar dua hari dihadiri 300 peserta terdiri daripada ketua jabatan, pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta penduduk Daerah Ranau membincangkan beberapa kertas kerja oleh penyelidik UKM dan UMS serta pegawai jabatan kerajaan berkaitan alam sekitar mengenai pengurusan cerun, pertanian tanah tinggi, kajian kes tanah runtuh dan gelinciran tanah, kejadian gempa bumi di Ranau, pemuliharaan sungai, perubahan iklim dan peranan komuniti dalam pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Majlis perasmian turut dihadiri Wakil Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohamad Deraman; Dekan Sekolah Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Baba Musta dan Pegawai Daerah Ranau, Haji Faimin Kamin.