Kaedah Pembelajaran Berbeda Untuk Pelajar Pintar

SELASA, 17 JANUARI 2012 17:18

pintar 1

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Said

BANGI, 16 Jan. 2012 – Pelajar Pintar akan diajar menggunakan pendekatan berbeda yang sesuai dengan tahap pemikiran masing-masing bagi memastikan mereka mencapai kecemerlangan.

Pengarah Pusat Permata Pintar Negara (PPN), Prof Dr Noriah Mohd Ishak berkata kaedah pengajaran yang digunakan mestilah menarik bagi minda pelajar supaya boleh membantu mereka belajar dan ingat apa yang mereka pelajari.

Beliau telah memberi taklimat kepada ibu bapa yang hadir untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke dalam program itu di Pusat PPN di sini hari ini. Seramai 128 pelajar pintar berusia 16 tahun telah mendaftar untuk mengikuti program itu selama dua tahun..

Setiap pelajar akan menjalani ujian untuk mengetahui tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu topik dan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diajar menggunakan pendekatan perbezaan (differentiated learning).

Setiap pendekatan yang di gunakan bertujuan untuk melahirkan pemikir yang inovatif.

Dengan itu mereka dididik untuk mengaplikasikan pengetahuan dan cuba menyelesaikan sesuatu masalah dengan menggunakan kaedah inovatif.

Di bawah program itu setiap pelajar akan mempunyai mentor penyelidiknya sendiri dalam bidang penyelidikan yang mereka minati.

Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha angkasawan Malaysia adalah salah seorang dari mentor kepada pelajar.

Selesai dua tahun di Permata Pintar mereka akan diberi pilihan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Mereka yang memenuhi syarat yang di tetapkan akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke salah sebuah Universiti Ivy League di Amerika Syarikat, seperti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Timbalan Pengarah (PPN) Dr Melor Md Yunus; Ketua unit pengurusan bakat (PPN) Dr. Siti Fatimah Mohd Yassin serta ibu bapa pelajar hadir di upacara taklimat itu.