Pelajar FPI Penghujah Terbaik Pertandingan Mahkamah Mut Syariah

mutsyariah1
Oleh Abdul Ghani Nasir

Foto ihsan Fakulti Pengajian Islam

 

BANGI, 4 Jan 2012 – Pelajar Tahun Tiga Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, Syamimi Ab Rahman, telah dinobatkan sebagai Penghujah Terbaik Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan 2011 pada 10 dan 11 Disember lalu.

 

Kemenangan Syamimi itu telah membawa kegembiraan kepada pasukan UKM yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan menentang pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

Namun pasukan UKM, diwakili Nor Salwa Abdullah Thani, Nur Sabrina Abdul Hamid, Nor Hafizah Haron dan Madihah Ismail selain Syamimi, kalah kepada pasukan USIM yang juga juara bertahan. Mereka dibimbing oleh Prof. Madya Dr Zaini Nasohah.

 

Sebagai penghujah terbaik Syamimi mendapat hadiah wang tunai RM1,500 bersama piala.

 

Syamimi memberitahu Portal Berita UKM, di peringkat saringan pasukan  UKM menewaskan pelajar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Di peringkat akhir mereka berhujah mengenai Hak Penjagaan Anak dan sebagai persiapan membawa bersama buku, komputer riba dan pencetak.

 

Pertandingan yang diadakan di USIM itu disertai oleh tujuh institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), UUM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di samping USIM dan UKM.

 

Pertandingan ini adalah anjuran USIM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

 

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah. Kali pertama pertandingan itu dianjurkan adalah pada 2009.