Pelajar UKM Juara Peringkat Akhir Prestige 2011

JUMAAT, 13 JANUARI 2012 00:00

prestige113

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

BANGI, 13 Jan 2012 – Pelajar Tahun Empat, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM memenangi pertandingan Akhir Prestige (‘Prestige Grand Final 2011‘) sekali gus menjadikan UKM juara keseluruhan antara kawasan.

Pertandingan Practical Environment, Safety & Industrial Guidance for Student Engineers(Prestige) itu dianjurkan Persatuan Gas Malaysia pada 17 dan 18 Dis. 2011 di Hotel Prince, Kuala Lumpur.

Pensyarah jabatan itu, Masli Irwan Rosli yang bertindak sebagai penyelia/pengiring pasukan UKM berkata kemenangan itu amat bermakna kerana ia membuktikan pelajar UKM adalah terbaik, mampu memuaskan hati para juri dalam menyiapkan laporan/tugasan dan mempersembahkan pembentangan yang meyakinkan.

Pasukan UKM yang meraih kejuaraan itu terdiri daripada Wong Yih-Jie, Syahida Jaafar, Nur Farah Ida Fauzi, Nur Izzatty Zainal, Chew Pan Hao, Fan Wei Seng, Muhammad Hafiz Abd Wahab, Chong Chien Loong dan Hairul Zaimie Miskur.

Satu lagi pasukan UKM yang terlibat membuat pembentangan projek terdiri daripada Tan Pey Yi, Tan Yie Hua, Chai Pui Vun, Ong Chin Boon, Tan Jiunn Siew, Phoon Kai Sam, Ang Wei Lun, Liew Kien Ben, Leong Jun Xing dan Koh Lily.

Pelajar UKM juga turut memenangi tempat kedua dalam sesi ‘ice-breaker‘ dengan persembahan tidak formal yang begitu bersahaja dan mencuit hati selepas makan malam pada hari pertama.

Selaku Juara Prestige 2011 pasukan UKM menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan baucar buku bernilai RM1500. Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTEM) dan tempat ketiga Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).

Pertandingan antara universiti-universiti ini adalah salah satu aktiviti dalam Program Prestige 2011. Ia bertujuan mendedahkan kesedaran peserta kepada peri pentingya ‘Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran’ dalam kehidupan.

Selain itu program ini memberi peluang kepada peserta melihat peluang kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Para peserta turut diberikan taklimat oleh pegawai dan wakil Petronas, Gas Malaysia, Shell, Exxon Mobil, DOSH dan NGO.

Pertandingan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama, kajian kes yang memerlukan peserta mengecam bahaya/risiko yang terdapat di persekitaran hotel dan menulis satu laporan standard untuk dinilai.

Bagi bahagian kedua peserta diperlukan mengkaji risiko/bahaya ketika pertandingan Shell Eco Marathon di Sepang.

Peserta perlu menganalisis bahaya/risiko, mencadangkan cara mengatasi perkara itu dan membentangkan hasil kajian itu pada penghujung program Prestige 2011.

UKM, yang pernah menjadi juara pada 2008 ketika Prestige dilangsungkan pada peringkat kawasan Lembah Kelang, menentang pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Juara 2009 Peringkat Utara, UTEM adalah Juara awal 2010-Peringkat Selatan dan INSTEP Juara hujung 2010-Peringkat Timur.