Perkasakan Ekonomi Melayu Melalui Wakaf korporat – Ali Hashim

KHAMIS, 19 JANUARI 2012 00:00

alihashim

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi 

BANGI, 19 Jan. 2012 – Pengasas Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp), Tan Sri Ali Hashim hari ini mencadangkan agar masyarakat Melayu menubuhkan wakaf korporat sebagai landasan menjayakan perjuangan bisnes mereka.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) itu berkata perjuangan bisnes dan wakaf korporat merupakan “satu formula dan strategi bisnes yang berpotensi memperkasa ekonomi dan mengembalikan darjat serta kedudukan umat Islam sebagai khalifah ekonomi satu hari kelak.”

Beliau telah menyampaikan syarahan dalam Siri Ceramah Kepemimpinan bertajuk “Kepemimpinan dalam Pembangunan Keusahawanan” di sini hari ini dengan menekankan perlunya “nilai-nilai Islam digabungkan dalam bisnes terutama sikap amanah”.

Pada ceramah lebih sejam di Bilik Senat yang penuh itu, Ali Hashim juga menggesa masyarakat menjadikan bisnes tunggak kegiatan ekonomi kerana seperti sabda Rasullulah saw sebanyak 9/10 peratus sumber rezeki adalah daripada perniagaan.

Beliau juga menekankan:

  • Perjuangan bisnes harus digerakkan demi kepentingan ummah.
  • Budayakan bisnes dan bisneskan budaya.
  • Menubuhkan badan korporat seperti perbadanan multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan.

Masyarakat Melayu, tegas beliau, perlu digalakkan terlibat dalam bisnes supaya tidak takut hendak jadi kaya semata-mata kerana ada ahli perniagaan yang lupa diri hingga kehilangan pegangan agama.

Menjelaskan konsep wakaf korporat,  Ali Hashim memberi contoh JCorp mengorak langkah menubuhkan waqaf itu dengan mewakafkan 75% saham sebuah anak syarikatnya yang  mengendali pakej umrah dan haji bernilai RM260,568 kepada WANCorp pada 2005.

Ini diikuti pula dengan mewakafkan saham bernilai RM200 juta dari tiga lagi anak syarikat JCorp, iaitu Kulim, KFC-Pizza Hut dan Johor Land Bhd setahun kemudian.

“Dengan pengiktirafan dan legitimacy diberikan, sekali gus ia memberi laluan kepada WANCorp memangkinkannya untuk tumbuh dan berkembang menjadi sebuah badan korporat wakaf pertama di Malaysia.

“Kombinasi kedua-dua kelebihan institusi wakaf dan korporat melahirkan keyakinan WANCorp kelak boleh menjadi institusi teras kepada usaha memperkasa ekonomi Melayu dan umat Islam di negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan konsep struktur pemegang amanah mengurus wakaf wajib memenuhi sepenuhnya syarat asas pewakafan menurut hukum syarak dan syariat.

“Apa pun, wakaf korporat perlu distrukturkan agar dapat menentukan urusan bisnes berjalan licin dan keperluan korporat seperti untuk mengembangkan perniagaan melalui pengambilalihan dan usaha sama dapat dipermudahkan.

“Semua ini membolehkan syarikat terbabit menambah nilai aset selain menjamin kelangsungan bisnes menjana harta kekayaan berpanjangan dan berkekalan,” tegasnya.

Dalam ceramahnya itu juga, beliau memberi beberapa contoh bagaimana WANCorp berjaya membantu golongan fakir memulakan bisnes begitu juga ibu tunggal menerusi Program Bantuan Modal Wakaf Dana Niaga, selain ahli perniagaan memajukan bisnes mereka.

Ali Hashim turut mengingatkan betapa buruknya kesan ahli bisnes yang ‘mabuk dengan cara barat’ yang melahirkan ahli korporat menjadi keparat.

“Sifat tamak dan tidak mempedulikan aspek akhlak merupakan budaya korporat dunia hari ini akibat terlalu mabuk mengejar harta kekayaan.”

Contoh utama diberikan beliau adalah Bernard Madoff, 75 yang baru-baru ini dipenjara lebih 100 tahun kerana menipu dalam menguruskan wang golongan kaya di Amerika Syarikat.

Ali Hashim yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia mengingatkan kata-kata Anita Roddick, pemilik The Body Shop yang menyifatkan penyenaraian syarikat itu di Bursa London sebagai umpama berpakatan dengan syaitan.

Ali Hashim memetik kata-kata Anita yang memberi alasan “Di bursa saham hanya pertumbuhan diutamakan dan diukur oleh segolongan kecil manusia dan oleh pelabur kewangan kaki judi. Cara bisnes seperti ini tidak ubah dengan berjudi di kasino.”

Pada ceramah itu, Ali Hashim turut menjual buku terbarunya “Khalifah Ganti Superman.”