Tokoh Korporat Cadang UKM Perjuangkan Ekonomi Islam

SELASA, 10 JANUARI 2012 11:03
CetakPDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Jan. 2012 – Seorang tokoh korporat mencadangkan agar UKM tampil melaksanakan perjuangan jihad ekonomi demi menggantikan dan mentransformasi ekonomi Barat yang kini semakin nyata zalim dan tidak adil.

Agenda ini, kata Tan Sri Ali Hashim perlu dirancang dan diajar mulai sekarang agar Malaysia sudah bersedia membuat perubahan ke arah ekonomi berlandaskan Islam dalam masa 20-30 tahun akan datang.

Ini kerana institusi ekonomi Barat yang diamalkan hari ini tidak akan dapat diubah atau dibuang begitu saja buat masa ini “memandangkan kita belum bersedia”, katanya. Beliau adalah penerima Ijazah Doktor Kehormat UKM.

Bercakap dalam Perbincangan Meja Bulat “Pemerkasaan Jati Diri Melayu Melalui Peradaban Islam” di sini, akhir minggu lalu beliau berkata universiti mesti bertindak terkehadapan daripada masyarakat kerana kini sudah jelas ekonomi dibina oleh Barat berdasarkan Kapitalisme semakin meruntuh dan merosakkan kedudukan kewangan banyak negara.

“Islam dibina atas dua tunjang iaitu tamadun berupa Emiriyah Islam dan kedua pasaran dan ekonomi. Malangnya aspek pasaran dan ekonomi diketepikan dan lupakan.

“Kita jelas kalah kepada Barat kerana mereka sudah mendominasi pasaran sesuai dengan konteks keperluan dan persepsi mereka. Kita sekarang bertanggungjawab menterjemahkan pasaran dalam konteks Islam.

“Hendaknya kita tidak harus bersikap apologetik dan segan untuk berjuang dalam menjayakan jihad ekonomi malah jangan diabaikan semangat jihad tetapi bukannya jihad daripada aspek peperangan yang sudah pasti membuat orang takut.

“Jihad dalam aspek mencari jalan bagaimana kita hendak mentransformasikan pasaran sesuai dengan Islam. Kita perlu mencari semula aspek-aspek ekonomi dalam Islam,” tegas beliau di perbincangan dianjurkan hasil tinjauan Kumpulan Penyelidikan Cabaran Membina Negara Bangsa (UKM-AP-CMNB).

Perbincangan itu turut dihadiri Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi; Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Khoo Kay Kim; Profesor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Prof Dr Idris Zakaria (UKM), Dr Mohd Razak Idris dan dua pemimpin pelajar Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ahmad Muzammi Muhd Hairi. Ia dipengerusikan oleh Profesor Zakaria Stapa, dari Fakulti Pengajian Islam UKM.

Tinjauan dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Pengajian Islam di kalangan 560 pegawai pelaksana dasar kerajaan yang melalui sistem pelajaran kebangaan. Kajian itu mendapati hampir semua responden belia Muslim Malaysia di jabatan kerajaan dan swasta memiliki tahap pengetahuan agama yang tinggi khususnya tamadun Islam.

Pembicara-pembicara itu dijemput untuk memberikan input mengenai rumusan tinjauan itu.

Ali Hashim selanjutnya menerangkankan betapa sistem perbankan Islam – satu aspek daripada sains gunaan Islam – sudah diberi penumpuan berlebihan hinggakan bank-bank besar seperti OCBC dan HSBC turut menawarkan produk-produk kewangan berlandaskan syariah.

Akibatnya, mereka dengan modal besar dan rangkaian luas menguasai sepenuhnya perbankan Islam yang amat diminati oleh bukan Islam, katanya.

“Bukan itu saja, malah dalam isu makanan halal pun syarikat multinasional Nestle sudah mengeluarkan pelbagai produk,” katanya.

Ali Hashim juga mahu orang Islam mengubah persepsi kononnya dunia itu tidak penting. Kekayaan dalam Islam digunakan untuk berzakat dan mewakafkan harta tetapi malangnya kita terikut-ikut Barat yang menjadi kaya dan mengutamakan kehidupan materialistik.

Ada juga kalangan kita yang mencari kekayaan serta menyalahgunakan wang zakat selain mengambil rasuah, tambah beliau.