Fakulti Sains Kesihatan Menerima Anugerah Tempat Kerja Selamat

RABU, 11 JULAI 2012 11:14

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Julai 2012 – Fakulti Sains Kesihatan memenangi hadiah pertama Anugerah Tempat Kerja Selamat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kategori Fakulti, manakala Fakulti Farmasi memperoleh tempat kedua.

Pemenang tempat pertama menerima geran RM3,000 dan sijil manakala tempat kedua geran RM2,000 dan sijil.

Anugerah itu disampaikan sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM tahun ini yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) UKM.

Institut Perubatan Molekul UKM dan Pejabat Naib-Canselor masing-masing mendapat tempat pertama dan kedua bagi kategori Pentadbiran, Institut dan Pusat manakala bagi kategori Kediaman Kolej Pendita Za’aba muncul juara dengan Kolej Rahim Kajai mendapat tempat kedua.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, di upacara perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan itu di FSSK hari ini.

Pengerusi MKKP, Profesor Dr Amran Abdul Majid berkata penilaian keselamatan telah dilakukan oleh JKKP antara bulan Mac hingga Jun lepas dengan memeriksa premis tanpa mengambil kira sama ada permohonan dibuat oleh pihak pentadbiran bangunan itu atau tidak.

MKKP diadakan pada minggu kedua bulan Julai setiap tahun sejajar dengan saranan majlis keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara.

JKKP diberi tanggung jawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, pelajar serta melindungi orang awam daripada bahaya yang berpunca daripada kegiatan pekerjaan.

Pameran alat keselamatan dan perkhidmatan ujian kesihatan juga dilangsungkan di dataran FSSK sempena minggu keselamatan ini manakala Pusat Perubatan UKM menyediakan pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.

Bahagian Keselamatan UKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) adalah di antara agensi-agensi yang menyertai MKKP kali ini.

Kempen keselamatan jalan raya dan ceramah gaya hidup sihat juga diadakan.