Hospital Kanak-kanak Pertama Akan Dibina Di UKM

RABU, 04 JULAI 2012 18:07

Oleh Shahfizal Musa
Foto Norashikin Yusof

KUALA LUMPUR,  3 July 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membina sebuah Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKUKM) pada hujung tahun ini.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang mengumumkan penubuhan hospital itu hari ini, berkata sebuah hospital pakar khusus untuk kanak-kanak perlu diwujudkan memandangkan kanak-kanak mempunyai ciri emosi fisiologi dan psikologi yang berbeda dengan orang dewasa.

Beliau telah merasmikan “Kempen Mesra Kanak-kanak dan Keselamatan Kanak-kanak” di Pusat Perubatan UKM di Cheras hari ini. Ia dianjurkan dengan kerjasama doktor pakar pediatrik, pakar bedah pediatrik dan pelajar. Ia merupakan salah satu aktiviti berkaitan dengan penubuhan HPKUKM.

Prof Sharifah Hapsah berkata adalah tidak sesuai bagi kanak-kanak untuk berkongsi perkhidmatan rawatan dengan orang dewasa.

Walaupun kebanyakan hospital mempunyai wad kanak-kanak (pediatrik) sendiri tetapi kanak-kanak masih perlu berkongsi perkhidmatan, seperti radiologi apabila perlu mengambil X ray.

Ini bermakna mereka terpaksa bercampur dengan pesakit dewasa sementara menunggu giliran. Mungkin ini dianggap sesuatu yang remeh tetapi apabila pesakit dewasa yang mengalami penyakkt yang serius berada di hadapan mereka dengan menggunakan pula peralatan seperti tiub dan saluran oksigen dan ada pula yang mengerang kesakitan, ini pasti akan memberi impak kepada kanak-kanak.

Kempen itu di penuhi ucapan serta suatu bengkel mengenai pencegahan kecederaan ke atas kanak-kanak.

Presiden Persatuan Kesihatan Mesra Kanak-kanak Malaysia, Prof Dato’ Dr Mahmud Mohd Nor yang turut memberi ceramah di bengkel itu telah lama memperjuangkan usaha mengadakan sebuah hospital pakar khas untuk kanak-kanak.

Beliau yang juga Prof Adjunct Pembedahan Pediatrik UKM adalah doktor pertama di Malaysia yang berjaya melakukan pembedahan memisahkan kembar Siam pada tahun 1988.

Prof Mahmud berkata sejak merdeka Malaysia telah mengadakan sistem perubatan yang mengintegrasikan kanak-kanak dan dewasa dalam hospital yang sama. Tetapi kanak- kanak bukanlah orang dewasa yang bersaiz kecil.

“Sudah sekian lama kita masih tidak mempunyai sebuah hospital khas untuk kanak-kanak kerana orang ramai masih sukar menerima konsep bahawa kanak-kanak adalah berbeza dari orang dewasa.

“Selepas merdeka kita dapat menyediakan sistem rawatan, perubatan dan pencegahan yang baik. Walau pun bersandarkan kaedah kos rendah dan teknologi rendah kita berjaya menurunkan kadar kematian bayi hingga mencapai suatu kedudukan yang lebih baik dari Amerika Syarikat sekarang ini,” kata Prof Mahmud.

Beliau menerangkan bahawa sebuah hospital khas untuk kanak-kanak mestilah menjadi tempat penyembuhan dari segala aspek yang tidak pula dikaitkan dengan kesakitan.

Ia juga bukan bermakna mempunyai dinding yang dihiasi dengan kartun atau saluran tv kartun ataupun jururawat yang berpakaian seperti badut.

Ia harus menjadi suatu tempat di mana pembelajaran untuk kanak-kanak boleh diteruskan. Walau apapun penyakit yang dihidapi pembelajaran harus diteruskan. Dengan itu hospital kanak-kanak perlu dilengkapi bilik untuk belajar serta boleh pula menyediakan guru-guru, tambah beliau.

Hospital kanak-kanak mestilah menjadi suatu tempat yang menyeronokan lengkap dengan tempat untuk bermain oleh pesakit kanak-kanak. Melalui permainan perhatian pesakit kanak-kanak boleh dialehkan dari tumpuan mereka terhadap rawatan.

Kejayaan usaha-usaha demikian itu boleh dinilai apabila pesakit kanak-kanak dibenarkan pulang meminta untuk tinggal lagi di hospital, tambah beliau.

Kiranya keadaan demikian tercapai ia bermakna kita telah berjaya menyediakan khidmat perubatan yang mesra kanak-kanak kerana telah dapat menyediakan apa yang di perlukan mereka, kata Prof Mahmud.

Dekan Fakulti Perubatan, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali; Timbalan-Timbalan Dekan, pengamal perubatan dari seluruh negara dan pemaju turut hadir di upacara itu.