Kanak-kanak Keluarga Besar Norlina Diraikan Berbuka Puasa

ISNIN, 30 JULAI 2012 14:58

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Julai 2012 – Lebih 40 orang kanak-kanak dari  Persatuan Kebajikan Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman (PERNIM) diraikan dalam satu majlis amal dan berbuka puasa oleh UKM Holdings, sebuah anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Puri Pujangga di sini malam ini.

PERNIM juga dikenali sebagai Keluarga Besar Puan Hajjah Norlina Alawi telah bergiat melindungi dan memelihara kanak-kanak mangsa sumbang mahram, berpenyakit HIV/AIDS dan mualaf yang di tinggalkan.

Puan Norlina, 41 tahun, pemilik beberapa syarikat pakaian dan perkhidmatan rundingcara perniagaan mula mengambil kanak-kanak terbiar itu sejak 2001 dan kini mempunyai 37 orang anak angkat disamping tujuh orang anaknya sendiri.

Mereka terdiri dari enam orang anak yatim piatu, dua orang mualaf (Fiipina), lima orang anak warga Indonesia dan 16 orang anak terbiar di samping lapan orang anak yatim yang dijangkiti AIDS.

UKMHSB adalah sebuah syarikat induk yang merancang dan memantau penubuhan syarikat terbitan untuk mengkomersilkan inovasi dan penyelidikan UKM. Ia telah menyokong keluarga besar Puan Norlina dengan bantuan kewangan dan moral untuk memelihara kanak-kanak itu.

Pengarah Urusan UKMHSB, Dr Nik Ismail Nik Daud telah menyampaikan sumbangan duit Raya kepada kanak-kanak itu dan menderma kepada PERNIM.

Program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat UKMHSB dan Puri Pujangga dalam aktiviti khidmat masyarakat sempena bulan Ramadhan dengan beramal sambil menderma kepada insan yang kurang bernasib baik.

Puan Norlina berkata penagihan dadah, hubungan seks bebas dan kandungan di luar nikah merupakan penyumbang utama kepada penyakit HIV/AIDS di negara ini yang terus meningkat setiap tahun.

Beliau menjejaki arwah ibunya yang suka membantu insan yang memerlukan tanpa membezakan status agama, bangsa, tua atau muda dan anak-anak kecil.

Beliau kesal sehingga hari ini tidak ramai individu atau badan-badan bukan Kerajaan (NGO) yang sanggup tampil ke hadapan membela dan menghulurkan bantuan kepada anak-anak pesakit HIV/AIDS kerana mereka menganggap tanggungjawab itu wajar ditanggung keluarga terdekat kanak-kanak itu atau kerajaan.

Beliau tidak mengupah pembantu atau pengasuh untuk memelihara anak-anak itu. Semua kerja di rumah dilakukan oleh anggota-anggota keluarganya dengan anak-anak kecil dijaga dan dibimbing oleh abang atau kakak mereka mengikut suatu sistem “mentor”.

Suaminya, Lt Kol Roslan Zakaria, 43, yang berkhidmat dalam rejimen Askar Wataniah dan sering bertugas di perbatasan turut membantu bila ada kelapangan. Anak kandung sulung mereka kini berusia 21 tahun dan sedang menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) manakala anak angkat sulung mereka kini berusia 30 tahun dan belajar di Politeknik Premier di Pasir Gudang.

Puan Norlina dilahirkan di Kluang Johor pada tahun 1971. Anak kedua dari sembilan adik beradik kepada seorang Pegawai Perhutanan Johor, telah diasuh ibunya sejak kecil lagi dengan didikan agama, nilai-nilai murni, menghargai insan kurang upaya dan sikap suka menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

Beliau mendapat pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Tinggi Kluang, Johor dan telah mendirikan rumahtangga pada usia muda dengan Hj Roslan.

Rumah Puan Norlina terletak di Lot 47 Jalan 47 Bukit B, Kampung Cheras Baru 56100 Kuala Lumpur.