Penyelidik UKM Terima RM7 Juta Geran Penyelidikan

JUMAAT, 06 JULAI 2012 16:00

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 5 Julai 2012 – Kumpulan penyelidikan sains biosfera dan kesihatan UKM hari ini menerima geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bernilai hampir RM7 juta.

Kumpulan kesihatan menerima RM5,479,300 manakala kumpulan penyelidikan sains biosfera menerima geran bernilai RM1.5 juta. Geran itu telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu Majlis Penyampaian Dana Penyelidikan di Dewan Serbaguna, KPT di sini.

Dato’ Seri Khaled berkata kerajaan yakin dengan kemampuan penyelidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan telah memperuntukkan sejumlah lebih RM170 juta sebagai geran kepada 1,425 penyelidikan oleh IPT awam dan swasta.

Beliau berharap setiap dana penyelidikan yang diperuntukkan memberi impak kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

KPT akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai kesan besar setiap perbelanjaan penyelidikan selain mewujudkan satu formula untuk mengukur sumbangan pencapaian penyelidikan IPT kepada KDNK negara.

Untuk tempoh RMK10 (2011-2015), KPT mensasarkan penghasilan sekurang-kurangnya 1,500 modal insan yang memiliki sarjana dan doktor falsafah.

Dalam tempoh itu juga, KPT berharap berbagai agensi di bawahnya mampu menghasilkan 6,000 penerbitan dan 500 harta intelek.

Datuk Seri Khaled berharap pihak industri juga dapat meningkatkan dana penyelidikan mereka.

Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang melabur untuk meneroka, mengembara dan mencari ilmu baharu dan cabarannya ialah untuk melahirkan kecintaan kepada penerokaan ilmu dan membudayakan penyelidikan dalam masyarakat, katanya.

Majlis hari ini turut dihadiri pengurusan tertinggi KPT, Naib Canselor IPTA dan IPTS serta para penyelidik.