Sikap Sambil Lewa Mengenai Keselamatan Masih Wujud Di UKM

KHAMIS, 12 JULAI 2012 08:29

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Julai 2012 – Masih terdapat sikap sambil lewa di kalangan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai keselamatan di tempat kerja, khasnya mengenai penggera  kebakaran dan pintu kecemasan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menggesa supaya peraturan mengenai kecemasan di patuhi untuk menggelak berlakunya sebarang tragedi.

Beliau berkata masih terdapat tempat di UKM di mana kemudahan untuk menangani kecemasan tidak diselenggara dengan betul atau disalah guna, seperti mengunci pintu kecemasan.

Berucap merasmikan Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM hari ini, beliau berkata walaupun belum berlaku keadaan kecemasan yang serius dalam kampus, ini tidak bermakna segalanya berada dalam keadaan selamat.

Beliau menyeru kakitangan, penuntut dan orang awam yang berada dalam kampus sentiasa berwaspada kerana kemalangan boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa disangka-sangka.

Contohnya ialah reaksi kebanyakkan orang terhadap penggera amaran kebakaran. Laporan yang diterimanya menunjukkan tiada perasaan cemas dikalangan warga UKM di kebanyakkan bangunan dan premis apabila penggera berbunyi.

Beliau sendiri mengalami keadaan sedemikian di pejabat dan pernah menyaksikan kakitangan tidak menghiraunya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Menurut peraturan Jabatan Bomba, semua orang mesti dipindahkan, biasanya keluar dari bangunan apabila penggera berbunyi, walaupun tiada kelihatan kebakaran di mana-mana.

Sikap yang sama ditunjuk apabila ada latihan kebakaran. Walaupun semua pekerja dan siswa arif mengenai cara bertindak dalam latihan, bukan semua mengikut prosidur itu.

Malahan, sikap acuh tak acuh juga kelihatan apabila kemudahan seperti pintu kecemasan dihalang atau dikunci kerana kononnya takut pencuri masuk. Ada pula laluan ke pintu kecemasan dihalang dengan barangan dan kerusi meja kerana dijadikan bilik setor.  Ini akan membawa kemudaratan jika kecemasan berlaku.

Pemeriksaan juga dapati ada alat pemadam api yang rosak atau sudah haus bertahun-tahun lamanya. Beliau mahu JKKP mengambil tindakan tegas mengenai masalah itu kerana ia boleh membabitkan nyawa warga UKM.

Kerjasama semua pihak, termasuk orang awam amat perlu bagi menentukan UKM sentiasa berada dalam keadaan selamat, kata Prof Noor Azlan.