Tuntutan Demokrasi Tidak Harus Bawa Kepada Kemusnahan Negara

SELASA, 24 JULAI 2012 08:31

Berita dan Foto oleh Abd Raai bin Osman Penerbit UKM

SINTOK, 17 Julai 2012 – Rakyat diingatkan tidak terlalu terikut dengan amalan keghairahan berpolitik untuk menyuburkan demokrasi hingga membawa kepada kemusnahan negara.

Tengku Temenggong Kedah, Brigediar Jeneral (Kehormat) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkata rakyat tidak harus begitu terpengaruh dengan amalan negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting yang perlu dipertahankan.

Beliau yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berucap di Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan)  IPTA Ke-31 di Universiti Utara Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata melihat kepada perkembangan semasa, pelbagai konflik berlaku di negara luar seperti perang saudara, pemberontakan dan sebagainya kerana keghairahan berpolitik demikian dan rakyat negara ini harus memastikan bahawa tuntutan demokrasi tidak akan membawa kepada kemusnahan demikian dalam negara.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Leftenan Muda Mohd Noor Afinddie bin Rositi, terpilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi Palapes UKM.

Mohd Noor yang berasal dari Bandar Seri Jempol Negeri Sembilan terharu dengan pemilihannya itu dan berhasrat untuk menyambung khidmatnya dalam pasukan Wataniah selepas tamat pengajian kelak.

Ketua Jurulatih PALAPES UKM, Leftenan Kolonel Mohd Sahar bin Haji Said berbangga dengan pencapaian anggotanya kerana telah berjaya dengan cemerlang di perbarisan tamat tauliah mereka.

Jati diri serta ilmu yang mendalam dalam semua perkara boleh memberi banyak nilai dalam diri sama ada dari segi rohani atau jasmani, kata Mohd Sahar.

Komandan PALAPES UKM, Naib Canselor Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin turut hadir di upacara itu.