Anugerah Sepanjang Hayat Kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UKM

KHAMIS, 07 JUN 2012 17:30

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 7 Jun 2012 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan (UKM), Prof Emeritus Dato’ Dr M. Zawawi bin Ismail dirai malam semalam dengan pemberian Anugerah Khas Sepanjang Hayat oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim (PERDANA).

Anugerah itu diberikan untuk mengitiraf pencapaian dan jasa-jasanya sebagai seorang anak Kelantan. Ia di sampaikan oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Malam Anugerah PERDANA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini.

Prof Emeritus Dr Zawawi menerima pendidikan menengahnya di Kolej Sultan Ismail, Kota Baharu dan di Victoria Institution Kuala Lumpur.

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dari University of Leeds, Britain.

Seorang jurutera profesional, Prof Emeritus Dr Zawawi ialah Felo Akademi Sains Malaysia dan Felo Kehormat Institut Fizik Malaysia.

Sebelum perlantikannya di UKM beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Malaysia.

Prof Emeritus Dr Zawawi tidak asing kepada UKM kerana pernah bertugas sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan pada tahun 1989 dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada tahun 1991.

Di upacara malam tadi, PERDANA juga telah menyampaikan anugerah siswazah cemerlang kepada 34 ahlinya dari setiap fakulti.

PERDANA mempunyai lebih 1,000 orang anggota dari kedua-dua kampus Bangi dan kampus Kuala Lumpur.
Penasihat PERDANA, Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif Mohamed turut hadir di upacara itu.