Pelaburan Domestik Kunci Utama Mencapai Taraf Negara Maju

RABU, 06 JUN 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Mohammad Zukri Ahmad

IPOH, 6 Jun 2012 – Pembuat dasar perlu memberi perhatian yang lebih kepada pelaburan tempatan memandangkan ia boleh menyerap impak ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata sudah tiba masanya Malaysia memberi layanan karpet merah kepada pelabur tempatannya.

Berucap sebagai Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Professor Negara (MPN) di Forum MPN “Merealisasikan Transformasi Ekonomi; Isu dan Cabaran” di sini hari ini beliau berkata pelabur tempatan sering merungut pelabur luar dibenar masuk mengikut pintu hadapan manakala mereka terpaksa masuk menggunakan pintu belakang.

Ekonomi negara, katanya, perlu diperkukuhkan dengan pelaburan tempatan kerana terlalu bersandarkan kepada pelaburan luar akan mendedahkan negara kepada risiko krisis ekonomi global yang berjangkit-jangkit.

Beliau berkata 40 peratus daripada isi rumah dalam negara sekarang berpendapatan rendah, iaitu 40 peratus daripada isi rumah dalam negara tidak mampu untuk menikmati taraf hidup tinggi sebagaimana dinikmati negara maju.

Isu ini perlu ditangani sekiranya Malaysia ingin mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Prof Noor Azlan berkata mencapai status negara maju bermaksud rakyat akan berhadapan dengan gaya hidup maju bertaraf tinggi dengan kos yang tinggi pula.

Tetapi sekiranya 40 peratus daripada isi rumahnya tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan kos tinggi demikian ia tentunya akan menimbulkan banyak masalah.

Prof Noor Azlan berkata beliau amat risau dengan pengagihan pendapatan yang tidak merata kerana ia kini sudah menjadi satu masalah Malaysia. Ini perlu ditangani.

Transformasi ekonomi untuk maju mestilah dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Salah satu impak pengagihan pendapatan yang agak keterlaluan dan tidak rata sekarang, ialah puak yang kaya semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin. Ini tentunya akan menimbulkan masalah sosial dan ketidakstabilan.

Penyelesaiannya adalah dengan menyemarakkan sektor domestik, kerana negara yang mempunyai sektor domestik yang memberangsangkan boleh mengatasi masalah demikian.

Beliau berkata Malaysia perlu berhati-hati dalam memilih pelaburan kerana pelaburan yang dibuat akan menentukan pekerjaan yang akan wujud.

Walaupun universiti menghasilkan graduan dalam pelbagai kepakaran ini telah membawa kepada masalah pula kerana peluang pekerjaan yang dihasilkan tidak memerlukan lulusan pelajaran tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Encik Nik Azman Nik Abdul Majid berkata salah satu masalah yang dihadapi negara sekarang adalah kualiti graduannya.

Walaupun terdapat penambahan institusi pengajian tinggi, 70 peratus daripada pekerjaan yang ada hanya memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia.

Dalam pada itu beliau telah menimbulkan suatu insiden di mana sebuah syarikat luar berusia lebih seratus tahun dan terkenal dengan jenama produknya yang mahu membuka kilang membuat enjin kapal terbang di Malaysia.

Ia memerlukan 2000 orang jurutera berkemahiran tinggi dan mereka sanggup membayar gaji tinggi juga.

Malangnya Malaysia tidak mampu menyediakan kehendak pekerja sebanyak itu yang berkelayakan tinggi demikian hingga terpaksa berunding untuk mengimport jurutera dari luar negara sementara melatih jurutera tempatan yang sedia ada.

Walaupun institusi pengajian tinggi telah bercambah wujud terdapat isu kualiti yang harus ditangani. Sejauh manakah graduan yang dihasilkan dapat memenuhi kehendak industri?

Banyak majikan, katanya, merunggut mereka terpaksa melatih graduan dahulu sebelum boleh bekerja.

Dengan itu kerajaan kini telah menggalakkan hubungan antara industri dengan universiti.

Dua pandangan mengenai kualiti graduan yang tidak seberapa dan pilihan pelaburan yang akan menentukan pekerjaan yang dikehendaki telah mendapat perhatian forum.

Forum sebulat suara berpendapat, pembuat dasar, institusi pengajian tinggi dan industri perlu menjalin kerjasama yang lebih erat untuk menangani masalah yang wujud itu.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UKM, Prof Dr Nor Ghani Mohd Nor, pimpinan industri dan pembuat dasar telah mengikuti forum dan persidangan itu.