Perubatan Tradisional Melayu Perlu Diselidik

RABU, 27 JUN 2012 08:03

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Jun 2012 – Seorang penyelidik sastera dan budaya Melayu tradisional menyaran sebuah panel penyelidik ditubuhkan untuk menilai perubatan tradisional Melayu yang kaya dengan pelbagai nasihat mengenai ubatan dan rawatan.

Dr Harun Mat Piah berkata panel itu hendaklah di anggotai pakar-pakar perubatan moden dan tradisional, ahli kaji tumbuhan atau Botanist dan pakar Bahasa Melayu klasik.

Dalam suatu wacana di Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM pagi ini mengenai Ilmu Perubatan Melayu Tradisional dari Naskah-Naskah Lama, beliau berkata penyelidikan mendalam mengenainya belum pernah dilakukan sehingga kini.

Beliau mencadang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan geran untuk penyelidikan itu bagi menentukan ilmu yang pernah diamalkan bertahun dahulu tidak akan hilang.

Perubatan tradisional Melayu adalah khazanah dan warisan budaya yang pasti membawa faedah kepada masyarakat kini dan masa hadapan, kata Dr Harun.

Beliau telah memperolehi maklumat dari sumber tertulis iaitu manuskrip-manuskrip atau naskah-naskah lama Melayu yang tersimpan dalam pelbagai koleksi Dunia.

Sumber utama ialah dari koleksi Pusat Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara yang menyimpan kira-kira 40 naskah dengan judul atau dalam kategori “Kitab Tib”.

Kitab Tib, katanya, digunakan sebagai kata nama khas untuk ilmu pengubatan Melayu bersempena manuskrip perubatan Arab yang menggunakan nama Al-Qanun al-Tibb karya Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina.

Beliau berkata Kitab Tib adalah buku yang berbicara mengenai tradisi pengubatan. Terdapat banyak rahsia dunia pengubatan Melayu dari halaman pertama hingga ke akhirnya dalam kitab-kitab itu. Ia menunjukkan betapa tingginya ilmu generasi lalu.

Sebelum kewujudan perubatan moden, rawatan penyakit, pembuatan ubat, penyediaan bahan semuanya bergantung sepenuhnya pada alam.

Meskipun sebahagiannya dicatat dalam naskah khusus, ada juga yang dihafal dan diturunkan dari satu generasi ke generasi. Ada juga sebahagiannya dicatat dalam Hikayat Melayu lama.

Kitab Tib itu bukan sahaja mengandungi nasihat mengenai ubat dan rawatan, tetapi juga mengenai ilmu yang boleh disifatkan sebagai sihir atau ilmu ghaib seperti jampi dan mantera. Di antara catatan yang mendapat perhatian ialah ilmu ramalan dan penujuman, ilmu tanaman, ilmu bahasa dan sastera, ilmu pertukangan serta ubat pengasih dan berahi.

Turut dimuatkan adalah amalan perubatan bagi menangani penyakit berkaitan hantu, dirasuk syaitan, diganggu jin berserta dengan bacaan jampi manteranya.

Kita Tib menghuraikan nama dan bentuk penyakit, kaedah rawatan, ubat, proses pembuatan ubat, bahan dan ramuan, kaedah penggunaan, pantang larang dan cara pencegahan penyakit. Dibicarakan juga khasiat perubatan beberapa jenis ramuan, khususnya dari jenis herba yang ada hubungannya dengan pengubatan dan pemakanan untuk kesihatan secara umum.

Dr Harun yakin akan manfaat dari Buku Tib yang sumber-sumbernya dikumpul dari beratus-ratus tahun pengalaman Tabib atau penyembuh tradisional.

Beliau percaya 70% sumber adalah dari tabib Muslim, iaitu Arab dan Farsi. Bagaimanapun Buku Tib mengandungi halaman mengenai jampi serapah dan ilmu sihir yang hampir pasti dari zaman Melayu animis dan Hindu/Buddis. Sumber lain termasuk Portugis, Belanda dan Inggeris.

Dr Harun mendapati bahasa yang diguna dalam manuskrip memang sukar di faham sekarang dan memerlukan pakar bahasa klasik untuk interpretasinya. Tambahan pula, sukatan timbang yang disebut seperti tahil, cupak dan gantang tidak lagi diguna sekarang. Banyak istilah yang diguna mengenai bahasa harian zaman lampau tidak lagi difahami sekarang. Kebanyakan manuskrip ditulis sekitar 1820-an hingga ke abad 20.

Dr Harun mendapat pendidikan di Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian di School of African and Asian Studies (SOAS), University of London selain di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Belaiu cukup dikenali kerana sumbangannya dalam penyelidikan sastera dan budaya Melayu tradisional.

Anak kelahiran Kuala Kangsar ini turut memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam Kesusasteraan Melayu Klasik dan pernah berkhidmat sebagai pegawai pelajaran di Kementerian Pendidikan, selain bertugas sebagai pensyarah di UKM, Universiti Michigan dan pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam.

Dr Harun juga mengkaji dan menulis dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu tradisional, puisi Melayu tradisional, sastera lisan dan kajian manuskrip Melayu dalam pelbagai koleksi dunia.

Antara penerbitan pentingnya termasuklah Cerita Cerita Panji Melayu, Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi, Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Pantun Bingkisan Permata.

Beliau pernah bertugas sebagai Mualim Tamu di Perpustakaan Negara Malaysia pada 2002 dan buku Kitab Tib – Ilmu Perubatan Melayu adalah antara projek yang dikendalikannya ketika itu.