Syor Pertukaran Tenaga Pengajar Antara UKM Dan Universiti of Hawaii

JUMAAT, 08 JUN 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 Jun 2012 – Pakar Pendidikan Amerika, Dr Maya Kassandra Soetoro-Ng, adik seibu Presiden Barak Obama mencadangkan pertukaran tenaga pengajar antara University of Hawaii di mana beliau mengajar dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr Maya Kassandra, seorang Penolong Professor Pendidikan, berkata pertukaran pensyarah antara kedua universiti itu akan dapat meningkatkan persefahaman.

Beliau yang berada di sini sebagai anggota suatu rombongan empat orang dari East-West Center (EWC), Hawaii kagum dengan penuntut-penuntut yang mereka temui di Pusat PERMATApintar®  UKM.

Rombongan itu terdiri dari Presiden EWC, Dr Charles Morrison, ahli lembaganya, Puongpun Sananikone dan pengarah program pendidikannya, Dr Terrence Bigalke akan berada di Malaysia hingga Jun 11 ini.

Mereka disambut di PERMATApintar® oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan telah diberi taklimat mengenai usaha untuk membimbing kanak-kanak pintar.

Dr Maya Kassandra mencadangkan pensyarah UKM mengajar siswa Amerika mengenai Dunia Islam.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata beliau akan melobi kerajaan Amerika Syarikat memberikan peruntukan tambahan untuk melaksanakan rancangan pertukaran pensyarah antara UKM dan Universiti Hawaii.

EWC yang beribu-pejabat di Honolulu, Hawaii bertujuan mempromosi hubungan lebih erat dan persefahaman di kalangan masyarakat dan negara Rantau Pasifik, Asia dan Amerika Syarikat melalui kajian, penyelidikan dan dialog.

 
Dr Morrison berkata kini terdapat sekurang-kurangnya lima pelajar Malaysia dari UKM yang melanjutkan pengajian tinggi di Amerika Syarikat melalui EWC. Mereka kini antaranya berada di Stanford University California, University of Wisconsin dan Brown University di Indiana.

Beliau juga tidak melihat kenapa pelajar lepasan PERMATApintar tidak boleh mengikuti jejak yang sama.

Dr Maya Kassandra dilahirkan di Jakarta Indonesia berkongsi ibu dengan Obama. Bapanya adalah seorang Jawa manakala bapa Obama ialah seorang Kenya.

Ketika bermastautin di Indonesia, beliau dididik oleh ibunya, Anne Dunham dan kemudiannya belajar di Sekolah Antarabangsa di Jakarta dan seperti abangnya Obama, telah kembali ke Hawaii dan belajar di sekolah tinggi swasta sehingga tamat pada tahun 1988.

Beliau adalah lulusan dari Barnard College di Manhattan, New York dan memperolehi ijazah sarjana dalam bidang bahasa kedua dan bahasa Inggeris dari New York University serta ijazah PhDnya dalam perbandingan pendidikan antarabangsa dari University of Hawaii.

Suatu kenyataan dari Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia berkata Dr Maya Kassandra dan rombongan akan mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika di Kuala Lumpur, beliau dijangka melancarkan pameran koleksi 20 tenunan batik Indonesia yang pernah dimiliki oleh mendiang ibunya, di Muzium Seni Islam.

Lawatan beliau dianjurkan oleh East-West Center dan diuruskan oleh ISIS Malaysia dengan kerjasama pejabat Tun Daim Zainuddin dan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2009 Dr Soetoro-Ng berjaya menerbitkan sebuah buku berdasarkan tesis ibunya bertajuk Surviving against the Odds: Village Industry in Indonesia, (Hidup penuh cabaran: Industri Kampung di Indonesia).