Usaha Meluaskan Penanaman Cilibangi Ke Seluruh Negara

KHAMIS, 28 JUN 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2012 – Sebuah anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membekalkan benih cili tahan penyakit Cilibangi yang dihasilkan penyelidiknya, Prof Madya Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri, untuk penanaman dan pengedaran ke seluruh negara.

Syarikat UKM Serotech Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian Pelaburan Peluang Perniagaan (IBO) dengan

Sero Ventures dan Mozad Resources di bawah suatu program anjuran Agensi Inovasi Malaysia (AIM), di Ekspo Inovasi Malaysia di sini petang ini.

Perjanjian Peluang Pelaburan Perniagaan (IPO) itu ditanda tangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Serotech, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias; Pengarah Sero Ventures, Rusnah Muda dan Pengarah Mozad Resources, Mohd Zahuri Ahmad. Serotech berharap untuk mengeluarkan produk menggunakan cilibangi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Cilibangi adalah hasil hampir 30 tahun proses pemilihan tanaman bagi mendapatkan baka terbaik dari cili berbanding yang sedia ada dalam pasaran. Serotech akan menghasilkan produk cili itu serta mengedarnya ke pasaran tempatan manakala Sero Ventures dan Mozad Resources akan mengedar benih cilibangi kepada petani.

Ia adalah satu daripada 14 perjanjian yang dilakukan di bawah program AIM di upacara itu. AIM juga telah menubuhkan Pejabat Pengkomersilan Teknologi Negara (NTCO) hasil  kerjasama dengan 26 buah universiti awam dan sewasta termasuk UKM, institusi penyelidikan dan syarikat swasta terkemuka dalam negara untuk membantu mengmomersilkan inovasi dan hasil penyelidikan.

Ia juga bertujuan menyediakan maklumat inovasi secara kolektif kepada industri dan pelabur dengan tujuan menghasil dan memasarkan produk yang akan diusahakan.

UKM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Perdana Menteri, Dato ‘Sri Mohd Najib Tun Razak yang menyaksikan majlis tandatangani itu berkata inovasi adalah suatu usaha penting yang boleh membawa kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

Beliau berkata kerjasama rapat perlu dijalin antara kerajaan, sektor swasta, universiti dan orang ramai untuk menghasilkan produk inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mark Rozario berkata NTCO akan mempercepatkan proses mengkomersilkan harta intelek yang dibangunkan oleh ahli akademik dengan membuka peluang kepada pelabur yang berpotensi mencari inovasi yang mereka ingin untuk dikomersilkan dan dengan itu akan dapat menambahkan kekayaan negara.