Pameran Barangan Seni Pribumi Malaysia dan Canada di Vancouver

ISNIN, 05 MAC 2012 15:53

pameran 1

Gambar Ikhsan Prof Madya Salmah Abu Mansor KITA

BANGI, 2 Mac 2012 – Satu Pameran 10 hari Seni Gunaan Masyarakat Pribumi Malaysia dan Canada sedang berlangsung di Pendulum Gallery Vancouver Canada hasil kerjasama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM dan Kajian Orang Asli, Emily Carr University of Art and Design Canada (ECUAD).

Pameran itu yang berakhir esok menampilkan berbagai karangkraf barangan kegunaan harian termasuk bakul, kain, barang kemas, tikar, berbagai cenderamata, gelang, topi, alat music, mainan kanak-kanak dan berbagai jenis pekakas buatan rakyat pribumi kedua negara.

Pameran itu dianjurkan KITA, Pertubuhan Seni Asia Canada, Kajian Orang Asli ECUAD dengan sokongan kedua kerajaan Canada dan Malaysia.

Satu kenyataan yang disampaikan kepada Portal Berita UKM hari ini berkata pamiran itu adalah hasil kerjasama dua orang kurator, Prof Madya Salmah Abu Mansor, Felo Penyelidik Kanan KITA dan Prof Emeritus Sam Carter dari Emily Carr University yang telah mengumpul berbagai barangan kasil tangan rakyat pribumi kedua negara pertengahan dan akhir tahun lalu.

Kenyataan itu berkata antara barang yang dipamerkan termasuk juga rekaan terbaru yang menunjukkan buatan tradisional dan moden serta barangan yang memaparkan tumbuhan dan hidupan serta juga yang menyerapkan pengaruh reka bentuk global.

Ia juga memberi gambaran terhadap kekayaan penciptaan dan inovasi rakyat pribumi Malaysia menghasilkan berbagai reka bentuk barang seni dan kraftangan bermutu tinggi.

Dengan itu pameran juga mengetengahkan kekayaan kemahiran kaum pribumi mereka bentuk berbagai hasil kraftangan yang dapat pula diketengahkan untuk pengetahuan ramai.

Suatu galeri maya (Sesawang Untuk Pembelajaran Secara Online) akan dibangunkan dengan memaparkan gambar semua barangan yang dipamerkan itu untuk pengetahuan umum.

Mulai bulan depan barangan yang dipamerkan itu akan dibawa ke Malaysia untuk dipamerkan di berbagai negeri serta di muzium dan pusat-pusat kebudayaan antara lain.

Kesemua barangan itu termasuk dari Canada kemudiannya akan didermakan kepada UKM.

Ketua Konsul Malaysia di Vancouver, Mohd Haniff Abdul Rahman yang berucap di upacara pelancarannya minggu lalu berkata pameran itu bukan saja dapat memperkenalkan hasil kreatif dan kraftangan pribumi kepada orang ramai tetapi telah dapat pula meningkatkan kemahiran buatan pribumi kedua negara ke peringkat antarabangsa.

Ia juga menjadi suatu peristiwa penting dalam memupuk hubungan baik antara Malaysia dan Canada.

Beliau berharap kerjasama baik antara UKM dan Emily Carr University of Art and Design akan membuka lembaran baru kerjasama antara kedua universiti dan boleh menjadi teladan kepada kerjasama baik antara universiti dan badan-badan lain kedua negara.

Hadir di upacara pelancarannya ialah Presiden dan Naib Canselor, Emily Carr University of Art and Design, (ECUAD) Vancouver, Dr. Ron Burnett; Presiden Pertubuhan Seni Asia Canada, Dr. Jan Walls; Pengurus Program Orang Asli ECUAD, Brenda Crabtree; Kelab Seri Malaysia Club, pertubuhan sukarela pelajar Malaysia serta pelajar sukarela Program Pengajian Orang Asli ECUAD.