Pelajar PermataPintar mendapat tempat Universiti di Amerika.

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Shahiddan Saidi

najib 1
BANGI, 27 Mac 2012 – Enam orang pelajar tingkatan empat PermataPintar ditawarkan tempat untuk belajar di 10 buah Universiti di Amerika Syarikat setelah lulus Ujian Piawaian Amerika (SAT).

Mereka adalah Nur Syazana Natasha bt Hashim ditawarkan tempat di University of California, Davis; Yek Ching Kong dan Khoo Jia Hui ditawarkan tempat di University of Wisconsin, Madison dan Lee Yan Joe di University of California, San Diego.

Vishal Kalyani Mukudan di tawarkan tempat di University of Michigan; University of Massachusetts, Amherst dan University of California, Davis manakala Kavinraj Naggan A/L Sukumar menerima tawaran daripada University of Wisconsin-Madison; University of Purdue, Indiana dan University of California, Sacramento.

Ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’  Sri Mohd Najib Abdul Razak di upacara perasmian Kompleks PermataPintar Negara di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan PermataPintar sebagai sekolah untuk kanak-kanak pintar adalah pelengkap kepada sistem pendidikan negara untuk memastikan tiada kanak-kanak akan terpinggir.

Ini kerana kanak-kanak pintar dapat menimba dan memahami ilmu dengan lebih cepat dan dengan itu boleh membuat mereka berasa bosan terus belajar jika berada dalam sekolah biasa.

Sebab itu penting diadakan kemudahan bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi mereka yang sebenar, tambah beliau seraya berkata bahawa PermataPintar adalah suatu institusi penting dalam menangani cabaran global.

Ia adalah suatu pencapaian baik dan ia mampu membentuk generasi permata yang akhirnya merupakan modal insan yang lebih tajam minda dan mempunyai pemikiran kreatif di samping menitik beratkan pembangunan serta rohani dan akhlak, kata Dato’ Seri Najib.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata PermataPintar telah pun mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sehingga kini pelajar Permata Pintar telah memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam pelbagai pertandingan penyelidikan di Korea, Taiwan, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

Beliau berkata tiga khemah percutian sekolah hujung tahun telah pun dilaksanakan dengan kolaborasi John Hopkins University dari Amerika bagi lebih 1500 murid yang dikenal pasti melalui ujian secara talian.

Kerajaan Arab Saudi juga telah memohon UKM menjalankan satu program kem percutian khas untuk pelajar perempuan negara itu bulan Jun ini, katanya.

Suatu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara UKM dan Yayasan Al Bukhary untuk membiayai pembinaan sebuah auditorium dan kompleks sukan di Permata Pintar. Ia ditandatangani oleh Prof Sharifah Hapsah bagi pihak UKM dan Datuk Seri Ismail Yusof, Naib Presiden Yayasan Al Bukhary.

Hadir di upacara hari ini ialah Penaung PermataNegara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengarah PermataPintar, Prof Dr Noriah Ishak.