Malaysia Perlu Wujudkan Bank Biji Benih

SELASA, 22 MEI 2012 10:30

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Mei 2012 – Negara perlu mewujudkan sebuah Bank Biji Benih untuk menyimpan bahan genetik untuk jangka panjang sebagai usaha menghadapi sebarang kemungkinan kelompok simpanan bijiran di tempat lain musnah.

Pengarah Institut Biologi Sistem Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Normah Mohd Noor yang juga Pengerusi Nic Biodiversiti untuk Pembangunan Bioteknologi berkata Bank Biji Benih itu akan dapat menyimpan benih atau bijiran makanan serta spesis yang jarang ditemui daripada menjadi pupus.

Bank biji benih itu perlu diwujudkan oleh kerajaan kerana kos mengendalinya adalah tinggi. Antara benih yang perlu disimpan termasuk beras, kekacang, sayuran, cilli dan jagung.

Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), dalam suatu abstraknya minggu lalu menyebut bahawa cadangan untuk menubuh suatu Bank Simpanan Benih di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (2006 – 2010) masih belum siap sehingga kini.

Prof Normah berkata sebuah bank biji benih demikian itu penting diadakan secepat mungkin sebagai satu usaha mengurangkan pergantungan negara kepada import makanan memandangkan kawasan pertanian kini semakin berkurangan.

Ia juga adalah satu cara untuk memelihara benih penting atau germplasma dan merupakan bank gen di mana benih ortodoks boleh disimpan dengan selamat. Biji benih ortodoks adalah jenis yang tahan pengeringan dan suhu sejukbeku.

Biji benih demikian mungkin tanaman makanan atau yang jarang dilihat untuk melindungi kepelbagaian hidupan atau biodiversiti.

Ada beberapa sebab kenapa biji benih penting disimpan, kata Prof Normah. Bagi tanaman makanan, simpanan benih ini mungkin dapat mengatasi bencana alam atau peperangan yang mana bekalan makanan asas boleh berkurangan.

Ada juga tanaman yang semakin kurang diguna atau jarang ditemui tetapi boleh menjadi penting dalam masa kecemasan atau darurat.

Bank simpanan biji benih lain dari perpustakaan benih yang diguna sebagai gudang berkongsi bahan antara penyelidik. Bank biji benih lebih merupakan tempat asas untuk simpanan jangka panjang, tambah beliau.

Biji benih ortodoks sesuai untuk bank biji benih kerana ia lebih mudah disimpan dalam keadaan dingin dan kering bagi waktu yang panjang.

Sebaliknya, biji benih banyak spesies tropika adalah rekalsitran, iaitu tidak toleran terhadap pengeringan dan suhu yang rendah. Sifat rekalsitran ini menjadikan biji benih ini tidak sesuai di simpan/pelihara  dalam bank biji benih sepertimana biji benih ortodoks. Contohnya, koko dan getah.

Prof Normah berkata ada kaedah simpanan germplasma lain seperti krioawetan (cryogenics) dan bank gen tanah atau pemeliharaan in-situ.

Bank gen tanah sebenarnya bercucuk-tanam secara tradisional seperti dusun dan ladang. Bagaimanapun, cara pertanian ini menghadapi kemungkinan pada jangka panjang diserang penyakit dari kuman, serangga dan perubahan udara.

Krioawetan atau ‘cryopreservation’ (cryogenic preservation) adalah penyimpanan sel, tisu dan organ pada suhu yang sangat rendah dalam cecair nitrogen (-196°C). Pada suhu ini, sel-sel menjadi dorman, iaitu kadar metabolik sangat rendah. Semua tindak balas biokimia berhenti, tetapi sel-sel masih “hidup”.

Kebaikan krioawetan ialah selagi ada bekalan cecair nitrogen, sel dan tisu boleh disimpan. Banyak jenis organ tumbuhan, seperti hujung cabang, biji benih dan embrio boleh disimpan cara ini.

Sebuah tabung yang mengandungi nitrogen boleh mengawet antara 5,000-10,000 spesimen. Bagaimanapun, krioawetan memerlukan bekalan cecair nitrogen secara berterusan dan bilik simpanan mesti sentiasa disejukan.

Pemeliharaan spesi s secara ‘in-situ’ adalah cara yang paling banyak atau kerap dilakukan, iaitu kawasan digazetkan menjadi taman simpanan perhutanan atau bukit simpanan, bagi melindungi tumbuhan yang menghasilkan biji benih.

Selain itu, in-situ juga dibuat dalam ladang atau dusun. Cara ini membenarkan tumbuhan demikian mengembang secara semula jadi.

Di seluruh dunia, beberapa negara sedar betapa penting peranan bank biji benih. Umpamanya, di Britain projek The Millenium Seed Bank telah lama diwujudkan; di Rusia, Valivov Institute of Plant Industry dan di Norway The Svalbard Global Seed Vault diwujudkan dalam kawasan Kutub Utara,.

Menurut Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), belanja import makanan negara semakin meningkat. Walau bagaimanapun, tiada angka terbaru yang disiarkan.

Belanja Import makanan meningkat (Anggaran ISIS 2009) (billion ringgit)

  2005 2006 2007
Import 17.73 19.95 23.7
Eksport 10.6 11.39 13.76
Import Bersih 7.06 8.56 9.61

Kerajaan nampaknya tidak mengeluarkan angka atau statistik demikian ini secara berterusan dan maklumat hanya diperolehi dari pelbagai sumber, termasuk ulasan atau sebutan menteri-menteri kepada media.

Menurut sumber-sumber belanja impot makanan telah mencecah RM35billion pada tahun 2008.

Ada pula sumber lain yang mengatakan Malaysia membelanja hampir RM13 billion pada tahun 2010 untuk mengimport daging, kentang, buah-buahan, bawang dan sayuran sahaja. Ini tidak termasuk beras dan gula.

Pertubuhan penyelidik Business Monitor International pula meramalkan pada tahun 2009, kadar pengunaan makanan di Malaysia akan naik 22.7% menjelang 2013.

Dengan adanya bank biji benih negara akan dapat memperbaiki hasil bumi melalui penternakan.

Walaupun industri pemprosesan makanan tumbuh berlipat ganda, negara amat bergantung kepada impot makanan keperluannya kerana bilangan penduduk semakin bertambah.