UKM Perlu Mensejagatkan Bahasa Melayu

JUMAAT, 25 MEI 2012 17:54 ADMINISTRATOR

Oleh Abdul Razak Hussin

BANGI, 18 Mei 2012 – Seorang professor UKM mencadangkan universiti itu mensejagatkan bahasa Melayu dengan mencipta dan mengembangkan bidang keilmuan baru yang akan menarik pelajar dari luar negara untuk datang dan mempelajarinya.

Mantan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa berkata melalui usaha itu masyarakat antarabangsa akan mempelajari bahasa Melayu untuk menggali ilmu yang disampaikan dalam bahasa itu dan dengan sendirinya BM akan dihormati sebagai bahasa ilmu tinggi.

Berucap dalam suatu ceramah sempena Majlis Kesyukuran Ulang Tahun UKM ke-42 di Masjid UKM di sini hari ini beliau turut menyarankan agar pelaksanaan bahasa Melayu dilakukan bersungguh-sungguh dan teliti di UKM.

“Tidak harus berlaku campur aduk bahasa yang melambangkan ketidakseriusan kita sendiri dalam usaha mendaulatan bahasa yang sering diungkapkan”, katanya.

Prof Zakaria berkata UKM telah berjaya mencapai perkembangan amat pesat dari segi keilmuan dan infrastrukturnya.

Ia kini sudah menjadi sebuah universiti yang matang di mana kira-kira 10% daripada ahli akademiknya yang berjumlah lebih 2000 orang sudah bergelar Profesor.

Selain itu UKM juga telah berjaya menghasilkan 146170 siswazah dalam tempoh itu.

Tetapi dalam pada itu beliau mempersoalkan apakah perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi masih menjadi agenda penting di UKM? Dan bersesuaian dengan visi dan misi UKM, sejauh mana inisiatif mensejagatkan bahasa itu dilaksanakan?

Beliau dalam pada itu menyeru warga universiti terus memantap dan menyegarkan asas-asas penubuhannya.

Prof Zakaria mengingatkan bahawa UKM ditubuhkan hasil perjuangan rakyat jelata serta didukung oleh para pemimpin semenjak awal abad ke-20.

Beliau menyeru agar Falsafah UKM sentiasa menjadi landasan kepada semua aktiviti di universiti. Paduan antara Iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat harus menjadi rangsangan untuk terus memperkukuhkan UKM sebagai universiti penyelidikan serta institusi ilmu ulung dan disegani.

Majlis kesyukuran itu disertai kira-kira 500 warga UKM. Antara yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Anatarabangsa, Prof Datuk Dr Azlan Ghazali; Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dr Othman A Karim dan pegawai-pegawai pengurusan utama.