Usaha Menolong Pengusaha Kecilan Wanita

SELASA, 15 MEI 2012 09:15

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

SHAH ALAM, 14 Mei 2012 – Usahawan kecil wanita merayu pasaraya raskasa memberi ruang untuk membantu mereka memasarkan produk yang mereka keluarkan.

Mereka ini adalah anggota 1AZAM, suatu program yang dipelopori Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membantu meningkatkan pengeluaran produk pengusaha kecil dan sederhana wanita.

Sehingga kini seramai 70 orang wanita dari golongan pendapatan rendah telah mendapat faedah dari rancangan 1AZAM.

Program 1AZAM telah dilancar Oktober lalu dan anggotanya telah mengambil bahagian dalam suatu pesta peniaga kecil dan sederhana, Jom Niaga di perkarangan Syarikat Karangkraf di Shah Alam Jumaat dan Sabtu lalu.

Lebih 300 usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah memperagakan barangan dan perkhidmatan mereka di pesta itu yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta SME Corp. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pesta peniaga itu bertujuan memantapkan hubungan antara kementerian, agensi kerajaan, syarikat korporat dan orang ramai melalui pelbagai aktiviti berunsurkan keusahawanan, kata SME Corp.

Dua orang anggota 1AZAM, Noraziah Abdul Aziz, 40 tahun dan Siti Mariam binti Abu Bakar, 60 tahun yang mengambil bahagian dalam pesta itu merayu pasaraya raksasa menyumbang kepada program itu dengan menerima produk buatan mereka untuk dipasarkan di seluruh negara.

Puan Noraziah memberitahu Portal Berita UKM bahawa beliau telah mencebur diri dalam bidang perniagaan kecil-kecilan selama tiga tahun selebelum menyertai 1AZAM lewat tahun lepas.

Melalui program itu, beliau telah dapat meningkatkan pengeluarannya dengan bantuan peralatan dari 1AZAM tetapi tidak mendapat pasaran luas kerana tidak mendapat sokongan pasaraya raksasa.

Masalahnya adalah bersangkutan dengan pembayaran kerana pasaraya raksasa itu hanya sanggup membayar mereka enam bulan sekali setelah mengambil barangan mereka.

Mereka bersedia menerima bayaran dua bulan sekali walaupun tidak mempunyai modal besar. Maka itu barangan buatan mereka kini hanya dijual di sekitar kawasan di mana mereka diami, iaitu Sungai Besi bagi Puan Noraziah dan Shah Alam untuk Siti Mariam dengan bantuan kaum keluarga dan rakan-rakan.

Mereka mengakui bahawa cara itu tentunya tidak akan dapat mengembangkan usaha perniagaan.

Mereka mengesyorkan pasaraya raksasa demikian berganding bahu dengan usahawan mikro untuk mempromosikan produk mereka dengan mengerapkan bayaran kepada pembekal.

Puan Siti Mariam yang lebih dikenali sebagai Kak Yam berkata kebanyakan rakannya tidak mampu bersaing dengan peniaga-peniaga besar.

Penglibatannya bukanlah untuk menjadi jaguh dalam bidang perdagangan tetapi hanya untuk menambah pendapatan keluarga.

Kebanyakan peniaga kecil wanita dilaporkan tidak mempunyai premis khas perniagaan dan mengeluarkan produk mereka dan menjualnya di rumah.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) UKM, Prof Madya Dr Madeline Berma berkata UKM melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan PKW bersama NCWO membentuk Model Pembangunan Keusahawanan khususnya untuk melonjakkan status sosio-ekonomi wanita termasuk golongan ibu tunggal.

Melalui rancangan Teman 1AZAM, mereka memberi bantuan dengan menyediakan peralatan atau bahan mentah dan bukan wang bagi memastikan peserta menjayakan perniagaan mereka, kata Prof Madya Berma.

Pengunjung ke pesta itu berpeluang mendengar kisah kejayaan tokoh-tokoh perniagaan seperti penerbit dan pengarah filem Datuk Yusoff Haslam dan Rosyam Nor serta tukang masak terkemuka Chef Zam.

Jom Niaga juga akan diadakan di Melaka pada 17 Mei; Tawau Sabah (21 dan 22 Mei); Miri, Sarawak (26 dan 27 Mei); Jengka, Pahang (28 Mei) dan Merbok, Kedah (19 dan 20 Jun).