Cara Ekonomik Menghasilkan Bahan Api Sintetik Dari Bahan Buangan Ditemui

KHAMIS, 22 NOVEMBER 2012 09:13 ADMINISTRATOR

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman dan ihsan Gunma University

BANGI, 21 Nov, 2012 – Penyelidik di Gunma Universiti di Jepun berjaya menemui cara menghasilkan bahan api sintetik daripada bahan buangan ladang, atau biomas dengan lebih murah.

Ketua kajian itu, Profesor Madya Reiji Noda berkata bahan api sintetik yang dihasilkan cara ini adalah bahan api cecair dan juga bahan mentah yang sesuai untuk pembinaan.

Beliau telah membentangkan hasil penyelidikannya di syarahan umumnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Prof Noda berkata hasil yang menggalakkan itu mungkin sesuai bagi negara-negara membangun seperti Malaysia.

Proses itu menggabungkan wap dan hidrogen dalam pirolisis biojisim/ buangan untuk menghasilkan tar, yang apabila di hidrogenasi boleh menghasilkan bahan api cecair atau bahan mentah. Pirolisis adalah penguraian bahan organik, seperti sisa ladang atau biomas menggunakan bahan kimia pada suhu yang amat tinggi, tanpa oksigen. Proses ini kekal dan tidak boleh di terbalikkan.

Beliau berkata ujian awal yang dijalankan di kawasan pertanian sederhana berhampiran universiti di Kiryu menunjukkan bahan api yang dihasilkan adalah berkualiti baik tetapi jumlahnya tidak mencukupi untuk kawasan lebih besar.

Bahan api sintetik atau synfuel adalah bahan api cecair yang diperolehi daripada arang batu, gas asli, minyak batu karang, atau biomas. Ia juga merujuk kepada bahan api yang diperolehi daripada pepejal lain seperti plastik atau sisa getah. Ia turut merujuk kepada bahan api gas yang dihasilkan dengan cara yang sama.

Istilah “bahan api sintetik” juga diguna untuk bahan api yang dibuat melalui penukaran metanol kepada petrol, atau pencairan arang batu secara langsung.

Pada tahun 2009, sejumlah 240,000 tong bahan api sintetik dihasilkan sehari di seluruh dunia. Sejak itu beberapa projek lain telah dibangunkan dan pengeluaran bahan api sintetik juga sudah meningkat.

Istilah bahan api tiruan berbeza makna bergantung pada isi kandungan pengeluarannya.

Secara am, pertubuhan Agensi Tenaga Antarabangsa mentakrifkan bahan api tiruan sebagai berasal daripada arang batu atau gas asli. Laporan tahunan agensi itu pada 2006 mentakrifkan bahan api tiruan sebagai bahan api yang dihasilkan daripada arang batu, gas asli atau bahan makanan haiwan, yang diproses secara kimia.

Juga terdapat definisi bahan api sintetik sebagai hasil daripada biojisim dan barang buangan industri dan perbandaran.

Prof Noda berkata jika sejumlah besar biojisim daripada pertanian boleh diperolehi, proses pirolisis wap dan penghidrogenan mungkin sesuai bagi negara-negara dunia ketiga di mana pertanian adalah satu kegiatan penting. Dengan cara ini, bahan buangan boleh digunakan dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Beliau bagaimanapun berkata tidak harus berlaku keadaan  yang terlalu bergantung kepada satu kaedah sahaja untuk pengeluaran cecair bahan api, kerana beberapa proses lain turut sedang dikaji.

Prof Noda berkata pirolisis wap dan penghidrogenan memerlukan beberapa peringkat mengasingkan bahan yang toksik, seperti ammonia daripada plastik dan PVC yang ditemui dalam sampah atau buangan industri. Kerja dalam peringkat ini mungkin berbahaya jika dilaksanakan oleh kakitangan yang tidak diberi latihan secukupnya.

Beliau dengan dua orang ahli sains lain, telah mendapat paten dan hak cipta terpelihara seluruh dunia bagi proses yang mereka majukan untuk menukar simen kepada bahan api.

Prof Noda pernah berkhidmat dalam beberapa projek yang melibatkan kitar semula sisa organik di Jepun. Beliau juga adalah pakar mengenai penggunaan PVC dan kaca buangan daripada tapak pelupusan dengan cara penghapusan asid, ammonia dan klorin yang terkandung dalam plastik dan penyingkiran natrium dari kaca. Beliau sering dirujuk oleh kerajaan Jepun untuk program kitar semula.

Beliau kini berkhidmat di Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Pasca Siswazah,  Gunma University di Kiryu.