IKS Perlukan Kepimpinan Cekap Dan Modal Yang Cukup Untuk Berjaya

JUMAAT, 09 NOVEMBER 2012 08:07

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim, Penerbit UKM

BANGI, 7 Nov , 2012 – Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia perlukan kepimpinan yang cekap dan dipilih atas kemahiran selain mempunyai modal yang cukup kiranya mahu berjaya.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih, Profesor Adjung Ekonomi dan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya berkata IKS boleh berkembang maju jika orang yang dipilih menerajui perniagaan mempunyai kaliber dan keberanian untuk menghadapi segala cubaan.

Beliau telah menyampaikan syarahan umum Keusahawanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini. Ia dianjurkan bersama oleh Fakulti-fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED-UKM) atas tajuk Capitalising Innovation and SME Development: The Missing Link in Going Global.

Beliau berkata bakat dan modal yang cukup amat diperlukan sejak awal lagi apabila mahu memulakan perniagaan.

Bagaimana pun ketika usaha besar-besaran dilakukan untuk mencari bakat tempatan bagi memulakan IKS pada awal 1980an, kecenderungannya adalah untuk memilih mereka dari kalangan kenalan lama. Maka pemimpin syarikat “start-up” yang dipilih berkurangan pengalaman.

Prof Kamal yang juga penasihat ekonomi kepada kerajaan berkata modal untuk perniagaan juga tidak mencukupi, memandangkan dana yang disediakan diedarkan kepada terlalu banyak IKS yang hendak dibangunkan.

Hasilnya 90% daripada IKS yang telah dibangunkan terpaksa gulung tikar.

Prof Kamal membandingkan pengalaman Malaysia dengan Korea Selatan. Kedua-dua negara memulakan usaha besar-besaran memajukan IKS kira-kira 30 tahun lalu. Ketika itu kadar per kapita Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi kedua-dua negara adalah sama, iaitu US$8,000.

Bagaimanapun, Korea Selatan telah mencapai kemajuan menakjubkan dan telah lama mengatasi Malaysia. Kini, KDNK Korea Selatan adalah di peringkat negara-negara maju OECD, kira-kira US$32,000 per kapita, lebih dua kali ganda daripada Malaysia.

Ramai pakar ekonomi telah memuji kejayaan Korea Selatan yang mempunyai banyak IKS yang berjaya, bukannya kerana syarikat gergasi Chaebol, atau konglomerat milik keluarganya.

Beliau berkata jurang yang wujud antara kedua negara adalah lebih ketara apabila mengambil kira Korea Selatan tidak mempunyai sumber asli yang kaya seperti Malaysia. Ia perlu mengimport semua bahan mentah keperluannya.

Prof Kamal berkata bahawa tunjang ekonomi negara-negara perindustrian adalah IKS. Berjayanya keusahawanan IKS bermakna syarikat gergasi mungkin mendapat faedah juga.

Bagaimanapun dasar mengenai IKS dalam negara tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata sebarang pembangunan keusahawanan akan mendapat manfaat daripada kemahiran dan teknologi tempatan. Bagaimanapun, Malaysia terlalu bergantung kepada Pelaburan Asing Langsung yang melibatkan pelbagai tuntutan dan syarat.

Pelabur luar yang dibawa masuk untuk penyertai pembangunan mempunyai agenda lain menyebabkan mereka enggan memindah teknologi.

 

Beliau berkata dalam usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, ia perlu menambahkan pendapatannya sebanyak dua kali ganda dalam tempoh tujuh tahun.

Prof Kamal, dilahirkan pada tahun 1946 berkelulusan BA (Hons) dari Monash University, Australia dan memperolehi PhD dari University of Pennsylvania pada tahun 1973.

Beliau adalah pengasas dan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) antara 1986-1994.

Sebagai penasihat Ekonomi kepada kerajaan, beliau menjadi pengendali utama dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (NEACC) antara tahun 1989 dan 1991 dan Pasukan Petugas Pelaksanaan Kebangsaan 2006-2008.

Pada tahun 1992, beliau menubuhkan kolej perubatan swasta pertama yang kini dikenali sebagai International Medical University (IMU) dan kekal sebagai Pengerusi Eksekutifnya sehingga 2004.

Beliau juga memasuki politik buat seketika dan dipilih sebagai ahli parlimen Wangsa Maju di Kuala Lumpur dari tahun 1996 hingga 1999.