Kajian Meramalkan Ribut Dahsyat Berlaku Termasuk Di Kawasan Tropika

RABU, 07 NOVEMBER 2012 17:21

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Nov 2012 – Ribut dahsyat seperti Taufan Sandy yang melanda negeri-negeri di timur utara Amerika Syarikat minggu lalu mengesahkan kajian yang menunjukkan kemungkinan ribut kuat boleh menjadi lebih berbahaya pada masa hadapan  termasuk di kawasan Tropika.

Dua pakar kaji cuaca terkemuka, Profesor Lord Julian Hunt dan Profesor Johnny CL Chan berkata Taufan Sandy yang digelar ‘ribut gergasi’, boleh dianggap sebagai bukti fenomena cuaca yang lebih dahsyat bakal melanda dunia.

Prof Chan telah mencipta model ramalan komputer yang memberi amaran kepada syarikat penerbangan di Amerika dan Eropah mengenai keganasan taufan Sandy.

Dalam temu bual dengan Portal Berita UKM, Prof Hunt dari Britain dan Prof Chan dari Hong Kong menjelaskan bahawa seperti yang telah dilihat di Asia, jejak laluan ribut besar itu boleh berubah akibat corak angin yang dipengaruhi perubahan iklim.

Kedua-dua saintis itu telah menghadiri Bengkel Bencana Alam dan Perubahan Iklim di Asia yang pertama, dianjurkan oleh Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM).

Dijangkan ribut puting beliong dan taufan akan menjadi lebih kuat di kawasan-kawasan di mana suhu permukaan laut semakin meningkat, seperti di Teluk Mexico dari mana kebanyakan ribut berasal yang kemudiannya melanda Amerika Utara.

Taufan Sandy, yang dianggap ribut luar biasa, telah mengakibatkan bencana dan malapetaka di pantai timur utara Amerika Syarikat dan Kanada. Dianggarkan seramai 60 orang telah terkorban akibat taufan Sandy, yang juga meragut 70 nyawa di Caribbean di mana ia membuat pendaratan awal.

Seperti yang dijangkakan puluhan ribu rakyat Amerika menghadapi gangguan ketara kehidupan mereka termasuk gangguan pengangkutan dalaman dan penerbangan antara Amerika Syarikat dan Eropah. Kira-kira 20,000 penerbangan telah dibatalkan dan lebih daripada lapan juta penduduk mengalami kesukaran termasuk gangguan bekalan elektrik dan air.

Keseluruhan kerosakan dan kos pembersihan dianggarkan antara US$30 dan US$40 billion. New York telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana besar oleh Presiden Obama. Ia krisis yang paling buruk dibandaraya itu sejak serangan ke atas menara berkembar 11 tahun lalu.

Lebih membimbangkan lagi, di New Jersey, loji nuklear Oyster Creek di letakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas banjir berlaku kerana dikhuatiri akan berlaku bencana loji nuklear seperti di Fukushima Jepun pada Mac 2011.

 
Prof Hunt berkata walaupun Taufan Sandy adalah ribut yang luar biasa, kekuatannya dapat dikesan awal lagi oleh ramalan model komputer yang direka oleh Prof Chan.

Mujurlah syarikat penerbangan berjaya mengesan jejak ribut itu dan membatalkan penerbangan awal-awal lagi, katanya. Mereka sudah ada model komputer itu pada tahun 1993 tetapi ramai tidak mengambil berat ramalan taufan besar ketika itu dan akibatnya penerbangan terpaksa dibatal pada saat terakhir.

Prof Chan, yang bertugas sebagai pensyarah di City University of Hong Kong, juga mempengerusikan Jawatankuasa Taufan Tropika Pertubuhan Kajicuaca Dunia.

Beliau berkata walaupun bilangan ribut tidak berubah, sebenarnya paras air laut sedang naik dan boleh membawa kepada ribut yang sama hingga menyebabkan lebih banyak banjir. Selain daripada itu terdapat juga kekerapan hujan lebat, kata Prof Chan. Maka itu banjir kilat akan lebih kerap berlaku seperti yang dilihat di Semenanjung Malaysia dan Selatan China.

Prof Chan telah bertugas di Jabatan Kajicuaca Britain ketika Prof Hunt menyandang jawatan Ketua-Pengarahnya. Kejayaan Prof Chan menyediakan modelnya bermakna interaksi angin taufan dan peredaran atmosfera dapat dikesan sejauh 750 km dari pusat ribut itu, lebih jauh daripada kaedah yang digunakan sebelum itu.

Prof Chan memperolehi sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang fizik dari University of Hong Kong dan PhDnya dalam bidang Sains Atmosfera dari Colorado State University di Amerika Syarikat.

Selepas dua tahun sebagai Penyelidikan Bersekutu Majlis Penyelidikan Kebangsaan Amerika Syarikat dan melanjutkan pengajian pasca kedoktoran di Sekolah Siswazah Tentera Laut AS, beliau terus bertugas di sana sebagai Profesor Penyelidikan Adjung selama satu tahun.

Beliau kemudian kembali ke Hong Kong dan menyertai Royal Observatory Hong Kong sebagai Pegawai Sains. Pada tahun 1989, beliau memulakan kerjaya akademik sebagai Pensyarah Kanan di City Polytechnic of Hong Kong (kini City University of Hong Kong) di mana beliau dilantik menduduki Kursi Prof Sains Atmosfera dan Dekan Jabatan Tenaga dan Alam Sekitar, serta menjadi Pengarah Pusat Impak Cuaca Asia Pasifik Guy Carpenter.

Prof Lord Julian Charles Roland Hunt pula adalah Felo di Jabatan Sains Mekanikal di Trinity College, Cambridge University.

Beliau juga adalah Profesor pemodelan Iklim di Department of Space & Climate Physics dan Department of Earth Sciences, University College London

Pada tahun 2000 kerajaan Britain menganugerahkan beliau sebagai Baron Hunt Chesterton dengan gelaran ‘Lord’ dan terus menganggotai Dewan Negara UK.