Kenderaan Staf dan Pelajar UKM Yang Rosak Dihempap Pokok Tumbang Akan Diberi Pampasan

JUMAAT, 23 NOVEMBER 2012 09:56

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Razak Hussin

BANGI, 22 Nov 2012 – Pampasan akan dibayar kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memiliki kereta yang rosak akibat dihempap pokok yang tumbang waktu hujan lebat di depan Dewan Canselori Tun Abdul Razak (Dectar) pada 12 Nov lalu.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata warga UKM yang menjadi mangsa bencana alam sedemikian dilindungi oleh insuran yang disediakan oleh universiti secara bersama dengan sebuah syarikat insuran.

Beliau berkata anggaran ganti rugi akan dibuat oleh syarikat insuran selepas pemeriksaan kenderaan.

Dalam kejadian itu, sebatang pokok di lereng bersebelahan kawasan Dectar tumbang ke atas bumbung laluan pejalan kaki yang jatuh ke atas kereta di situ hingga merosakkan 25 buah kenderaan.

Lapan belas daripada kenderaan itu dimiliki petugas dan penuntut UKM manakala tujuh lagi adalah kenderaan pelawat.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.