Konsep Perpustakaan Perlu Ditakrif Semula Supaya Terus Relevan

SELASA, 06 NOVEMBER 2012 18:39

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan saidi

BANGI, 2 Nov 2012 – Konsep perpustakaan di universiti perlu ditakrif semula supaya ia tidak dilupakan khususnya oleh generasi baru memandangkan bagaimana berbagai maklumat dapat diperolehi hanya dengan menekan tetikus komputer.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata perpustakaan amat penting untuk pertumbuhan akademik dan pembelajaran.

Berucap ketika merasmikan Program Pembudayaan Ilmu di Perpustakaan Tun Seri Lanang, di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata perpustakaan adalah jantung universiti dan kini perpustakaan di setiap universiti perlu membuat anjakan kecekapan, pemodenan dan transformasi untuk terus relevan kepada generasi muda.

Membuat perpustakaan lebih moden dari segi sistem dan alat-alatan serta mempunyai perkhidmatan yang lebih cepat belum memadai. Untuk melaksanakan transformasi penuh konsep perpustakaan perlu ditakrif semula sebelum perpustakaan dilupakan, tambah beliau.

“Kini dengan teknologi yang semakin meningkat, generasi baru akan bertanya ‘kenapa saya perlu pergi ke perpustakaan?  soalan itu tepat sekali kerana segala yang mereka perlukan wujud di alam cyber,” kata Prof Noor Azlan.

Sebagai jantung universiti, perpustakaan perlu terus berfungsi supaya warga kampus dapat merasakan kehadirannya dengan mengatakan ‘kami perlukan anda’, kata Prof Noor Azlan.

Beliau mencadangkan sebagai langkah pertama inovasi mudah, perpustakaan boleh memberikan perkhidmatan yang lebih cekap untuk menampung keperluan pelanggannya supaya berasa lebih selesa dan akan pergi ke perpustakaan lebih kerap.

“Saya tahu perpustakaan melakukan kerja dengan baik, saya tahu mereka mempunyai sejumlah besar koleksi buku, tetapi kita perlu melakukan dan menawarkan lebih daripada itu,” katanya.

Prof Noor Azlan kemudiannya telah menyampaikan Keahlian Kehormat Perpustakaan UKM kepada empat orang pendermanya termasuk Prof Dr Ding Choo Ming kerana menyumbang koleksi peribadinya sejumlah 3,000 buah buku kepada Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM.

Beliau juga menyampaikan keahlian kehormat itu kepada Prof Dr Sahbudin Shaari, Prof Madya Dr Bilkis Banu Shri Abd Aziz dan Allahyarham Prof Dr Kasmiran Jumari atas sumbangan mereka kepada Dana Endowmen Perpustakaan.

Beliau juga telah menyampaikan Anugerah Pencinta Ilmu kepada 13 orang siswa masing-masing dari setiap fakulti untuk mengitiraf pelajar cemerlang yang telah menggunakan perpustakaan dengan berkesan.