Pelajar, Ibu Bapa Perlu Sedar Bahaya Kanser Servik dan Cara Pencegahanya: Kajian

RABU, 14 NOVEMBER 2012 00:00

Berita dan foto oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 14 Nov 2012 – Satu penyelidikan keratan-rentas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memutuskan bahawa orang ramai termasuk pelajar menengah perlu diberi pengetahuan mengenai kanser pangkal rahim dan pencegahannya memandangkan ia adalah penyakit barah ketiga terbesar yang berlaku di negara ini.

Kajian itu dilakukan Prof Madya Dr Hesham Rashwan pada 2010 dengan bantuan Profesor Dr Syarif Husin Lubis dan pelajar Kiat Aun Ni untuk menentukan tahap pengetahuan dan kesedaran pelajar mengenai kanser itu dan cara-cara mencegahnya.

Dr Hesham ketika itu bertugas di Fakulti Farmasi manakala Prof Syarif adalah dari Fakulti Sains Kesihatan dan Kiat, sekarang ini seorang ahli farmasi. Mereka mendapati tahap pengetahuan mengenainya amat rendah serta penerimaan suntikan pencegahannya juga tidak diterima ramai.

Peningkatan pengetahun mengenai barah itu dan pencegahannya dengan menggunakan suntikan HPV boleh dicapai melalui program pendidikan dan kesedaran di sekolah-sekolah dan pusat masyarakat di samping menggunakan sebaran am.

“Langkah-langkah ini adalah amat penting terutama di Sarawak selain negeri ramai penduduk luar bandar di Malaysia dan ia boleh membantu mengurangkan penyebaran kanser pangkal rahim di masa depan.”

Penyelidikan itu di langsungkan di kalangan 76 orang pelajar tingkatan dua dan empat yang dipilih secara rawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong and Sekolah Menengah Kebangsaan St. Columbia di Miri, Sarawak.

Ia  menunjukkan bahawa mereka mempunyai tahap pengetahuan yang rendah mengenai penyakit itu dan langkah-langkah pencegahannya selain kurang pula mahu menerima keperluan menjalani suntikan HPV.

Pelajar-pelajar itu juga didapati amat berhati-hati mengenai kesan sampingan suntikan HPV. Suntikan HPV dan ujian rutin calitan Pap adalah langkah pencegahan yang paling berkesan, kata Dr Hesham.

Sebuah rencana mengetengahkan hasil penyelidikan itu disiarkan dalam Jurnal Pencegahan Kanser Asia Pasifik, 2011 atas tajuk: ”Pengetahuan mengenai Kanser Servik dan Penerimaan Suntikan HPV di kalangan pelajar di Sarawak, Malaysia”.

Dr Hesham berkata bahawa tahap pengetahuan pelajar didapati lebih tinggi jika ibu mereka mempunyai pendidikan formal tinggi. Pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak remaja mereka agar mengamalkan gaya hidup sihat pernah diperkatakan sebelum ini.

“Lantas mendidik ibu bapa mengenai peri pentingnya langkah pencegahan oleh pihak kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan-kerjaaan (NGO) dan media boleh meningkatkan pengetahuan anak perempuan mereka membawa kepada penerimaan langkah-langkah pencegahan terhadap kanser servik.

“Ini amat relevan dalam kajian kami terhadap penduduk Sarawak memandangkan ibu bapa adalah sumber utama maklumat mengenai kanser servik,” tambah beliau.

Dr Hesham juga berkata bahawa program menyedarkan masyarakat mengenai kanser servik dan pencegahannya boleh memainkan peranan penting dalam mendididk orang ramai dan menambah kesedaran mereka terutama program yang disiarkan dalam media massa.

“Sekolah-sekolah di Sarawak juga boleh memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran kedua-dua pelajar dan ibu bapa dengan menganjurkan program berkaitan kanser servik dengan kerjasama pihak kesihatan dan institusi akademik yang relevan.

“Menganjurkan kelas-kelas mengenai kanser servik di kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia boleh juga menambah pengetahuan mereka mengenai penyakit itu dan meningkatkan kesedaran mereka dalam usaha mencegahnya,” beliau menambah.

Menjelaskan mengenai kekangan hingga menimbulkan syak terhadap suntikan HPV di kalangan pelajar terbabit, Dr Hesham berkata kekangan utama disebut oleh pelajar dalam penyelidikan itu adalah berkaitan kesan sampingan, kemustajaban dan keselamatan vaksin digunakan.

Oleh itu, program pendidikan dan kesedaran pada masa depan harus memberi penekanan terhadap keselamatan dan betapa vaksin HPV itu mustajab.

Pelajar juga harus diberikan maklumat di mana tempat mendapatkan suntikan itu kerana tidak mengetahui di mana mereka boleh memperoleh suntikan adalah kekangan kedua.

“Satu lagi kekangan adalah mereka belum lagi aktif dalam melakukan seks oleh itu penerangan jelas harus disampaikan kepada orang ramai dan pelajar bahawa masa paling baik untuk disuntik adalah sebelum mengadakan hubungan seks pertama kali dan vaksin itu amat sesuai untuk kanak-kanak berumur 10 hingga 14 tahun,” kata Dr Hesham.

Beliau berkata kuman papilloma (HPV) adalah penyebab barah pangkal rahim manakala satu kajian awal menunjukkan bahawa 99.7 peratus kes kanser itu disebabkan HPV berisiko tinggi jenis onkogenik HPV 16 dan HPV 18.

Dua jenis HPV ini dikesan dalam 88 peratus kanser itu di Malaysia. Jangkitan HPV adalah yang paling banyak berlaku di kalangan individu muda dan aktif dalam hubungan seks.

Cara utama mencegahnya kini adalah suntikan HPV. Vaksin yang ada amat berkesan di kalangan gadis remaja terutama jika disuntik sebelum mereka memulakan hubungan seks.

Cara pencegahan sekunda adalah ujian calitan Pap. Malangnya ramai wanita Malaysia tidak melakukan ujian berkenaan secara tetap.

Kerajaan mulai 2010 telah pun menyediakan kemudahan suntikan percuma HPV kepada pelajar berumur 13 tahun dengan kebenaran ibu bapa mereka.

Dr Hesham berkata hasil kajian menunjukkan 61.8 % pelajar mempunyai pengetahuan lemah mengenainya dan cara-cara mencegahnya manakala 31.6 % dan 6.6 % mempunyai pengetahuan pertengahan dan amat mengetahui penyakit dan cara mencegahnya.

Kebanyakan pelajar (60.5%) pernah dengar mengenai penyakit barah itu manakala pelajar Cina dan mereka daripada tingkatan empat adalah golongan yang paling sedar akan bahayanya. Bagi kalangan yang sedar mengenainya, mereka mendapat maklumat mengenainya daripada ibu bapa mereka (25.9%). Sumber lain adalah media massa (21.5%), sahabat (17 %), sekolah (14.8%) dan internet (14.1%).

Tidak ramai pelajar (hanya 3.9 %) melaporkan mereka telah disuntik vaksin HPV, 18.4 % menunjukkan keinginan disuntik manakala 77.7 % berbelah bagi atau tidak bersedia untuk disuntik.

“Pelajar Melayu dan Cina menunjukkan pengetahuan tinggi mengenai kanser itu dan pencegahannya berbanding responden pribumi Sarawak. Mereka ini mempunyai status sosio-ekonomi yang tinggi.

“Ini mungkin satu faktor terhadap kesedaran itu dan mengetahui bahayanya lantas penyelidikan ini menunjukkan bahawa status sosio-ekonomi ada kaitan dengan pengetahuan berhubung pencegahan.

“Penyelidikan lain juga menunjukkan pengetahuan rendah mengenai kanser pangkal rahim dan cara mencegahnya di kalangan wanita yang rendah status sosio-ekonomi mereka. Ini memandangkan pendapatan keluarga adalah penentu kemampuan mendapatkan penjagaan kesihatan,” kata Dr Hesham.

Kajian juga menunjukkan bahawa ada kaitan di antara kesedaran penyakit barah pangkal rahim dengan pengetahuan mengenai cara-cara mencegahnya. Pelajar Cina yang mempunyai kesedaran tinggi dalam kajian ini mempamerkan pengetahuan tinggi juga berhubung pencegahan berbanding yang lain.

Bagaimanapun, mereka hanya prihatin mengenai cara-cara mencegahnya tetapi enggan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penyakit itu. Satu lagi kajian mendedahkan pelajar Cina di universiti-universiti di Malaysia mempunyai pengetahuan tinggi berkaitan pencegahan kanser itu berbanding golongan lain.

Ini kerana ramai daripada mereka mudah diserang penyakit kanser itu walaupun paling sedar mengenainya lantas mereka begitu mengambil berat akan penyakit itu berbanding kaum lain lalu berusaha mendapatkan maklumat pencegahan.

Dr Hesham juga menjelaskan bahawa pelajar dengan bapa atau ibu yang berpendidikan tinggi mempunyai pengetahuan mengenai pencegahan kanser pangkal rahim lebih baik berbanding mereka daripada ibu bapa yang kurang berpendidikan.