Penyelidik UKM Hasilkan Gelatin Halal

JUMAAT, 02 NOVEMBER 2012 11:59
Oleh Abdul Ghani Nasir

Foto Ihsan Prof Ir Dr Abdul Wahab Mohammad

BANGI, 1 Nov 2012 – Suatu Kumpulan Penyelidik Skala-tinggi dan Proses Hiliran UKM berjaya menyediakan suatu proses canggih untuk mengeluarkan gelatin halal dan kolagen terhidrolisis daripada sumber bahan pertanian, iaitu tulang ternakan, kulit dan sisik ikan.

Proses itu dibangunkan mengisi keperluan gelatin dan kolagen terhidrolisis bagi pasaran halal dunia, kata ketua kumpulan penyelidik itu, Prof Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses UKM.

Rekaan peralatan dipergiat itu boleh dibina dan dipasang bersama dengan loji pemprosesan ternakan atau ikan di negara-negara Islam.

Mereka telah membina sebuah loji percubaan kecil di UKM untuk menunjukkan proses keseluruhan itu. Kira-kira RM2 juta dibelanjakan untuk membeli peralatannya dengan pembiayaan awal didapati dari Technofund Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Penyelidikan terhadap projek itu bermula pada 2007 dengan Prof Wahab dibantu oleh Prof Ir Dr Mohd Sobri Takriff, Prof Dr Abu Bakar Mohamad dan Prof Madya Dr Siti Masrinda Tasirin, semuanya daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses.

Mereka kemudiannya dibantu Profesor Pelawat Ir Ad Grobben dari Belanda yang mempunyai pengalaman luas dalam industri pemprosesan gelatin dan kolagen terhidrolisis apabila projek itu bergerak ke arah loji skala pandu.

Mereka menggunakan jenama “Halagen” untuk gelatin dan kolagen terhidrolisis yang dihasilkan. “Ia boleh digunakan sebagai bahan dalam makanan, kapsul, kosmetik dan makanan tambahan,” kata Prof Wahab.

Beliau berkata masa pemeprosesan dapat dikurangkan dengan menggunakan partikel halus diperingkat nyahgalian membolehkan masa untuk menghasilkan satu kelompok produk juga dikurangkan.

Proses yang digunakan termasuk mengisar dan menggiling, nyahgalian dan penyedutan, penapisan, penapisan membran, pengewapan dan pengeringan.

Ia juga menggunakan teknik penapisan membran terbaru untuk pemecahan molekul gelatin dan kolagen terhidrolisis dalam proses pemisahan dan dapat mengurangkan keperluan tenaga serta menjimatkan air melalui kitaran semula.

Rekaan proses begitu canggih membolehkan masa pemprosesan disingkatkan serta mengecilkan saiz loji. Ianya amat sesuai untuk operasi setempat berdekatan loji-loji pemprosesan ternakan haiwan dan penternakan ikan, kata Prof Wahab.

 

Bagaimanapun pembinaan sebuah kilang yang boleh mengeluarkan kira-kira 20 tan gelatin dan kolagen terhidrolisis  sebulan memerlukan perbelanjaan kira-kira RM20 juta, katanya.

Prof Wahab yang mempunyai harapan besar terhadap kejayaan projek itu berkata: “Malaysia boleh menjadi perintis dalam penghasilan gelatin dan kolagen terhidrolisis untuk pasaran halal dunia. Ini amat penting sekali kerana gelatin dan kolagen terhidrolisis banyak digunakan dalam pengeluaran pelbagai jenis produk makanan dan perubatan”.

Mengenai teknologi yang digunakan, beliau berkata mereka menggunakan teknologi tercanggih dan terkini dalam merekabentuk loji, pemprosesan membran, teknologi penjernihan dan pemprosesan partikel.

Matlamat mereka adalah merekabentuk sebuah loji percubaan yang mengeluarkan daya penghasilan lebih tinggi dan masa pengeluaran dikurangkan dengan mengguna konsep modular dalam peningkatan loji ke penghasilan tinggi.

Kelebihannya adalah satu konsep modular yang boleh direkabentuk untuk kapasiti luwes dan penjadualan operasi. Rekabentuk kompak dan canggih memerlukan pelan lebih kecil lantas mengurangkan masa pemprosesan untuk penghasilan gelatin kepada kurang dari seminggu bagi setiap kumpulan.

Beliau berkara rekabentuk seumpama itu boleh ditingkatkan skalanya dengan mudah dan telah terbukti mampu mengeluarkan gelatin bermutu untuk gred makanan dan farmaseutikal.

Mohd Fairuz Mat Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Altus Technology Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UKM Tech untuk memasarkan dua produk itu, berkata: “Syarikat kami mencadangkan pengeluaran gelatin terhidrolisis daripada sumber-sumber yang halal terutama sekali tulang ikan, sisik dan kulitnya.

“Ini adalah untuk memenuhi keperluan memandangkan kebanyakan gelatin terhidrolisis yang ada di pasaran hari ini adalah daripada haiwan yang haram bagi penggunaan orang Islam.”

Beliau berkata: “gelatin terhidrolisis adalah salah satu sumber terbaik bagi asid amino (pembina protin). Ia sering ditemui dalam vitamin atau pemakanan kesihatan tambahan untuk membantu menyembuhkan tisu tulang, urat tendon dan sendi. 

“Sebagai satu tambahan protin, gelatin terhidrolisis yang ditambah kepada diet yang seimbang dan rutin latihan, boleh menambahbaik pertumbuhan otot, keluwesan sendi dan penampilan raut yang muda.”

Apabila digunakan dalam makanan, gelatin terhidrolisis bertindak sebagai pembalut mikro perisa dan warna makanan, satu pengganti untuk karbohidrat dalam gula-gula dan makan lain yang mengandungi lemak. Dalam produk farmaseutikal, gelatin terhidrolisis bertindak sebagai agen pembentuk pembalut nipis, pembalut-mikro, pemtablet dan formula pemakanan.

Bagi produk daging ia menjadi satu sumber protin, juga sebagai pembalut dan penstabil manakala dalam makanan dan minuman diet, ia juga menjadi sumber protin, pembentuk dan penstabil buih pembina otot dan pemulih dan meningkatkan tempoh hayat produk,” kata Fairuz.

Prof Ir Dr Abdul Wahab Mohammad boleh dihubungi di Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Proses, UKM, 43600 Bangi Selangor. Tel: 603-89216410, Faks: 603-89216148. Emel:  wahabm@eng.ukm.my.

Mohd Fairuz boleh dihubungi di Altus Technology Sdn Bhd, Tingkat 3, Bangunan Wawasan UKM, 43600 Bangi, Selangor Tel:603-93214994. Faks: 603-89269487. Emel: altus@ukmtech.com