Syor Kakitangan Akademik Sains Kesihatan Menjalani Tugasan Sementara di Sektor Swasta

ISNIN, 03 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Nov, 2012 – Kakitangan akademik dan teknikal dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disyor menjalani tugasan sementara di sektor swasta atau institusi perubatan bagi mengukuhkan kemahiran mereka apabila kembali bertugas di fakulti itu.

Mereka itu juga harus dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau gred gaji berdasarkan pengalaman bekerja dalam industri yang ada kaitan dengan bidang pengajian mereka.

Cadangan itu dibuat oleh sekumpulan perintis kakitangn akademik FSK yang menceritakan pengalaman mereka semasa penubuhan fakulti itu pada tahun 1992 dalam forum mengimbas kembali dua dekad fakulti itu bertajuk Memahat Kemilau Dua Dasarwarsa FSK.

Majlis Pengkisahan FSK ini dilangsungkan sempena ulangtahun ke 20 fakulti dalam satu acara perbincangan terdiri dari bekas kakitangannya yang ketika permulaannya dikenali sebagai Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB). Namanya ditukar ke FSK pada tahun 2010.

Ia dianjurkan bersama oleh FSK dan Muzium Warisan Akademik UKM.

Anggota panel terdiri daripada Dekan pertama FSKB, Prof Tan Sri Dato’ Dr Mohamed Salleh Mohamed Yassin; Dekan keduanya, Prof Dr Mohd Azman Abu Bakar, anggota akademik perintis program Dietetik, Dr Suhaina Hj Sulaiman dan Mohd Jamil Mohd Rafaai, juruteknologi makmal perubatan awal.

Forum dipengerusikan oleh Timbalan Dekan FSK, Prof Baharuddin Omar. Turut hadir Dekan Fakulti, Prof Dr Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari.

Prof Mohd Salleh, yang memegang jawatan Dekan daripada tahun 1992 hingga 1995 berkata cabaran pada permulaan ialah untuk mendapatkan pengiktirafan kursus-kursus FSKB daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Usaha kakitangan akademik untuk pengiktirafan mendapat perhatian sewajarnya apabila kursus Sains Bioperubatan mendapat akreditasi dari Society of Bio-Medicine di United Kingdom pada tahun 2000.

Prof Mohd Salleh juga menceritakan bagaimana sukarnya untuk mendapat peralatan pengajaran di awal penubuhannya. Malahan, kata beliau, tempat untuk kuliah dan pejabat Dekan juga sering berubah; pada mulanya di beberapa tempat di kampus utama di Bangi. Kemudiannya dipindah ke Kuala Lumpur walaupun bangunan baru belum siap.

Beliau masih ingat rungutan kakitangan pada masa itu, termasuk Dr Suhaina, kini Timbalan Dekan, yang tidak puas hati dengan suasana kerja. Bagaimanapun keadaan jauh berubah sekarang dan FSK boleh disifatkan sebagai sudah mantap.


Prof Mohd Azman juga mengalami kekecewaan pada awalnya, kerana tidak mempunyai peralatan yang cukup. Namun demikian, dengan sokongan Prof Mohd Salleh yang dinaikan pangkat dan ditukarkan ke bahagian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementrian Pengajian Tinggi, permintaan untuk perkakas dan bekalan lain telah mendapat layanan sewajarnya.

Dr Suhaina, pula mengaku bahawa apabila memulakan kerjayanya, beliau ingin berkhidmat dalam hospital sebagai pakar pemakanan sejurus pulang ke tanah air apabila menamatkan pengajiannya di Illinois, Amerika Syarikat.

Impian beliau pada awalnya ialah menjadi doktor.  Bagaimanapun beliau kini mendapati tugas di FSK sangat memberangsangkan, mencabar dan memenuhi kehendak sanubarinya.

Dalam pada itu, kakitangan yang menyediakan peralatan makmal seperti Mohd Jamil, mengakui bahawa beliau pada awalnya menghadapi cabaran kerana kekurangan pembantu makmal. Beliau menceritakan bagaimana ada kalanya beliau sendirian membuat kerja tiga orang untuk menyiapkan alat makmal atau kuliah pada masa yang sama. Mohd Jamil kini seorang pesara sedang menjalankan perniagaan kecil dengan anaknya di Kuala Lumpur.

Kesemua anggota panel bersetuju bahawa peluang penyelidikan perlu ditingkatkan supaya negara boleh mengembangkan industri Bioperubatan setanding dengan negara maju.

Mereka mencadangkan peranan swasta ditambahkan samada melalui pelaburan kerjasama atau tempoh latihan di syarikat-syarikat Bioperubatan. Malahan, usaha itu boleh dimajukan lagi dengan peluang pekerjaan dalam swasta, supaya graduan FSK tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk pekerjaan.