Usaha Bantuan Dan Pemuliharaan Mangsa Malapetaka Perlu Diperbaiki

RABU, 07 NOVEMBER 2012 17:53

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Nov, 2012 – Tempoh menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam serta bantuan untuk pemulihan mereka perlu dipercepatkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed berkata penyelidikan bagi mempercepatkan usaha membantu mangsa malapetaka perlu dilakukan dengan terperinci.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Alam dan Perubahan Iklim di Asia anjuran bersama Institut Bencana Alam Asia Tenggara UKM (SEADPRI-UKM) dan Yayasan Pembangunan Pendidikan Cambridge di sini hari ini. Ini adalah kali pertama bengkel demikian diadakan di sini.

Lebih daripada 30 orang saintis dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir dalam bengkel tiga hari itu bertujuan menimbang kemungkinan dan cara mewujudkan rangkaian pertukaran maklumat yang lebih baik dan kerjasama antara pelbagai pusat penyelidikan bencana alam dan cuaca.

Prof Rahmah berkata orang pertama mungkin cepat ke tempat kejadian, tetapi banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan mangsa serta menentukan keberkesanan usaha bantuan.

Cuaca buruk dan akibatnya memang tidak dapat dielakkan tetapi persediaan selepas ia berlaku perlu diwujudkan bahkan patut diberi keutamaan.

Beliau mencadangkan sistem yang lebih inovatif serta kepimpinan yang lebih mantap diwujudkan untuk menangani bencana alam.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi juga perlu dimaklumkan mengenai kemungkinan perkara buruk yang akan berlaku.

Secara keseluruhan, katanya, pengurusan selepas kejadian perlu dikaji secara terperinci untuk membantu menyelamatkan nyawa dan pemulihan mangsa.

Beliau berharap segala cadangan yang dimajukan dalam bengkel itu dapat dipertimbangkan oleh pihak berkuasa berkaitan dan kerajaan.

Penyelidik bagi setiap tema telah membentangkan kajian mereka diikuti dengan perbincangan panel.

Antara penyelidik yang mengambil bahagian ialah Prof Johnny CL Chan dari City University of Hong Kong, Dr Keiko Takahashi dari Agensi Jepun bagi Sains Laut dan Teknologi (JAMSTEC) dan Prof Fredolin Tangang dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Penyelidik iklim terkemuka Prof Emeritus Lord Julian Hunt dari University of Cambridge; Pengarah SEAFPRI-UKM, Prof Mazlin Mokhtar dan Timbalan Pengarahnya, Prof Joy Jacqueline Pereira adalah ahli jawatan kuasa pemandu bengkel.