Malaysia Negara Contoh Dalam Pemeliharaan Hutan Tropikanya

KHAMIS, 30 OGOS 2012 17:24

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi & ihsan Prof Wickneswari Ratnam

BANGI, 30 Ogos 2012 – Malaysia yang berada ditempat kukuh dalam pemuliharaan hutan tropikanya boleh menjadi negara contoh khususnya kepada Barat yang telah pun kehilangan  warisan hutan mereka.

Pakar Genetik Tumbuhan dan Penyelidik Bioteknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Malaysia harus mengambil kesempatan kedudukannya itu untuk menjadi peneraju dalam usaha pemeliharaan hutan, khususnya hutan tropika yang mendapat perhatian dunia secara meluas.

Profesor Dr Wickneswari Ratnam dari Fakulti Sains dan Teknologi berkata pengurusan hutan di Malaysia adalah setanding dengan kehendak dan taraf antarabangsa walaupun terdapat beberapa kejadian terpencil pembalakan haram. Namun demikian masih ada ruang untuk penambahbaikan, tambah beliau.

Malaysia, katanya, telah pun mengatasi syarat minima mengekalkan 50 peratus dari keluasannya dipenuhi hutan belantara sebagaimana dipersetujui dalam beberapa persidangan antarabangsa.

Prof Wickneswari dan beberapa ahli sains lain yang telah menjalankan penyelidikan berterusan selama 15 tahun mendapati hutan tempatan berkebolehan untuk tumbuh semula sebagai hutan belantara selagi pihak berkuasa persekutuan dan negeri mematuhi perjanjian yang dicapai dalam Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 dan 2012.

Beliau menjelaskan bahawa pemuliharaan hutan sebenarnya memerlukan usaha manusia seperti pembalakan yang mampan. Ini adalah kerana bagi menentukan hutan dapat dipulihara dengan baik pokok yang tua harus ditebang untuk memberi ruang anak-anak pokok boleh tumbuh dengan baik.

Beliau berkata amalan pembalakan di Malaysia ialah bagi setiap hektar tanah dibalak, 4 hingga 5 pokok besar mesti dibiar tegak selepas yang lain ditebang.

Amalan ini dipantau oleh pelbagai agensi termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pakar sains. Regenerasi mungkin tidak boleh tercapai pada keseluruhannya tetapi pencapaian Malaysia untuk menggantikan pokok lama amat membanggakan.

Amalan biasa ialah hutan hanya boleh dibalak sekurang-kurangnya 30 tahun selepas ia dipulihara. Selepas ditebang, peraturan-peraturan penanaman semula dan penggunaan tanah di sekelilingnya mesti dipatuhi oleh pemegang konsesi balak. Syarikat itu juga perlu mengemukakan laporan pasca-penebangan kepada pihak berkuasa dan konsesi balakan akan dibatalkan sekiranya gagal berbuat demikian.

Prof Wickneswari telah mempertahankan rekod pengurusan sumber ekologi Malaysia dalam buku yang beliau sunting dengan beberapa penyelidik lain bertajuk Menguruskan Masa Depan Hutan Rimba Tenggara Asia.

Beliau berkata memandangkan industri berasaskan kayu adalah antara penyumbang besar kepada ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara hubungan antara penyelidik dan pelaksana boleh dibaiki.

Malaysia mempunyai sejumlah hutan simpanan yang telah diistiharkan umpamanya sebagai Taman Negara, Hutan Simpanan Kekal dan Hutan Perlindungan Hidupan Liar. Walaupun terdapat pembalakan haram di sana sini, ia adalah kes-kes terpencil dan tidak berleluasa, katanya.

Maka itu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus melihat keadaan secara menyeluruh dalam hal pengurusan hutan bukan hanya memilih untuk menonjolkan kepincangan dengan mengabaikan kejayaan pengurusannya yang baik yang wujud dalam negara ini.

Memandangkan banyak negara Barat amat berminat dengan hutan tropika, beliau mencadangkan Malaysia menggunakan kedudukannya yang kukuh dalam pengurusan dan pengawasan hutan semula jadinya yang baik untuk mempengaruhi mereka.

Hutan belantara Malaysia terdiri daripada kira-kira 500 spesi pokok dipterokarpa berkayu keras seperti Meranti, Balau, Kapur, Chengal dan Keruing antara lain. Dipterokarpa matang dalam tempoh lebih 20 tahun.

Pokoknya boleh tumbuh tinggi dan besar. Penyelidikan mendapati 57% daripada hutan di Semenanjung Malaysia terdiri dari dipterokarpa manakala 75 peratus daripada hutan di Sarawak terdiri dari spesi itu dan menjangkau sehingga 90% di Sabah. Sabah juga mempunyai antara pohon dipterokarpa tertinggi yang pernah dijumpai sehingga kini di dunia.

Namun beliau mengingatkan bahawa walau bagaimana baik sekali pun kawasan hutan boleh diuruskan masih terdapat beberapa isu yang perlu terus dikaji.

Antaranya adalah isu kelemahan penyebaran biji benih akibat pengurangan bilangan haiwan yang boleh merebakkan biji benih itu. Pemulihan hutan selepas pembalakan boleh dipertingkatkan dengan pemulihan usaha penyebaran biji benih oleh haiwan. Maka itu perlindungan habitat haiwan amat penting, kata Prof Wickneswari.

Isu lain termasuk ancaman kepada daya maju genetik spesi hutan Asia Tenggara kerana pembalakan dan pembangunan infrastruktur dan aktiviti pertanian tidak teratur dan faktor seperti padang ragut, kebakaran dan pengambilan hasil hutan selain dari balak, tambah beliau.