Pencapaian Pelajar UKM Dalam Pelbagai Pertandingan Kebangsaan Dan Antarabangsa Diiktiraf

RABU, 15 OGOS 2012 15:15

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 15 Ogos 2012 – Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang dalam lima pertandingan berprestij di peringkat kebangsaan dan tiga acara di peringkat antarabangsa tahun ini.

Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UKM terdiri dari Dekan Fakulti, Pengarah Insitut dan Pengarah Pusat hari ini menyanjungi pencapaian mereka itu.

Mereka yang diiktiraf mesyuarat itu hari ini adalah:

Fakulti Pergigian yang menerima hadiah dalam kategori “Dentistry Restorative” bernilai US$2,000 di pertandingan Pergigian Estetika bagi rantau Asia, di Hong Kong pada 1 dan 2 Jun lalu.

Pelajar Fakulti itu Ng Shay Lee pula memenangi hadiah pertama US$1,000 peringkat individu dalam pertandingan yang sama.

Pasukan bolasepak Robot UKM dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) yang menjuarai “FIRA 6th Malaysia Cup 2012” di Politeknik Seberang Perai pada Jun 25 – 29. FIRA adalah Persekutuan Persatuan-persatuan Robotics Atarabangsa. Mereka akan mewakili Malaysia di pertandingan Persatuan Bolasepak Robot Antarabangsa di Great Britain hujung bulan ini.

Kumpulan Solar, Sel Fuel dan Ethanol dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina pula menjuarai Kejohanan SHELL Eco-Marathon Asia 2012 dalam kategori kereta konsep bandar dengan kuasa suria di Litar Lumba Antarabangsa Sepang pada Jun 7. Mereka memenangi wang tunai US$2,000 serta piala.

Kumpulan teater ARTISUKMA dari Pusat Kebudayaan memenangi anugerah bagi lima kategori terdiri dari Pelakon Harapan Terbaik, Arahan Terbaik, Adaptasi Terbaik, Tata Cahaya Terbaik dan Muzik Terbaik dalam Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) di Universiti Malaya pada 1 hingga 8 Julai lalu.

Pelajar Jabatan Fisiologi dari Fakulti Perubatan berjaya memenangi hadiah pertama dalam kategori “Young Investigator” di pertandingan ke 46 Kongres Perubatan Malaysia-Singapura di republik itu pada 12 hingga 14 Julai lalu. Mereka terdiri dari Nor Anita Megat Mohd Nordin, Norizam Salamat, Azmir Ahmad, Musmarlina Omar, Zaiton Zakaria, Wan Zurinah Wan Ngah, Oteh Maskon dan Kalaivani Chellapan.

Seorang Pelajar PhDnya, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamed pula muncul sebagai johan di Majlis Tilawah Al-Quran antara Universiti peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu. Wan Fakhrul sedang menuntut di Jabatan Pengajian Arab dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam.

Pelajar Fakulti-fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina serta Ekonomi dan Pengurusan pula mendapat tempat ketiga dalam Kategori Rekabentuk dan Kejuruteraan bagi pertandingan Eco-Challenge pada 13 hingga 15 Julai di Litar Motorsport  Antarabangsa, Melaka. Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000 trofi dan pingat.

Tujuh pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pula menyerlah di Konvensyen 1 Malaysia Cabaran Usahawan Muda di Shah Alam pada 18 hingga 20 Julai apabila mereka muncul juara dan memenangi hadiah wang tunai RM7,000. Mereka adalah anggota “ Free Enterprise Students’ Club”.