Rakyat Malaysia berkonflik secara aman

JUMAAT, 31 OGOS 2012 00:00 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 31 Ogos 2012 – Lebih 2000 perserta dan pengunjung membanjiri Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini untuk menyambut malam ambang kemerdekaan.

Di antara mereka terdapat 65 kanak-kanak orang asli yang merupakan penduduk asal di mana UKM terdiri sekarang, yang diundang khas oleh UKM untuk turut serta merayakan hari kemerdekaan itu.

Mereka itu telah dipindahkan ke kawasan berdekatan di kenali sebagai Kampung Bukit Bunga, untuk memberi laluan kepada penubuhan UKM, lebih 42 tahun lalu.

Dengan konsep 1 Malaysia, pengunjung termasuk pelajar UKM dari berbagai pasukan seragam seperti tentera dan polis, doktor dan jururawat serta pelajar lain yang mengenakan pakaian etnik pelbagai bangsa Malaysia di hiburkan dengan lagu-lagu patriotik dan tarian kebudayaan sambil menunggu detik 12 tengah malam.

Tepat pukul 12 bendera Malaysia dinaikkan di atas tiang bendera mudah alih dan upacara ditamatkan dengan letupan confetti dari empat penjuru dewan.

Suatu forum ‘Selusuri Sejarah Perjuangan Kemerdekaan’ juga diadakan sebelumnya bersama Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Jeneral Bersara Dato ‘Seri Zaini bin Hj Mohd Said.

Prof Shamsul berkata walau pun banyak negara di dunia terperangkap dalam konflik yang melibatkan pertumpahan darah, rakyat Malaysia amat peka dengan akibat buruk konflik yang melibatkan keganasan.

Beliau berkata konflik sememangnya wujud di Malaysia tetapi perbedaan pendapat itu jarang sekali meningkat ke tahap berbahaya.

Bagaimana pun beliau berkata tidak adanya konflik ketara yang boleh menggugat keselamatan negara tidak bermakna rakyat berpuas hati terhadap semua perkara yang wujud dalam negara.

Rasa tidak puas hati dan perbedaan pandangan yang boleh mencetuskan konflik sentiasa dibincang dan didebatkan dikalangan setiap kaum dan adakalanya melibatkan perbedaan antara kaum. Tetapi perbedaan itu jarang sekali memuncak sehingga menjadi satu perbalahan yang boleh mencetus keganasan.

Beliau berkata ini tidak bermakna tidak terdapat konflik di Malaysia dan menyebut rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sebagai suatu peristiwa hitam yang melibatkan kehilangan nyawa.

Prof Shamsul berkata konflik wujud kerana terdapat pandangan yang berbeza di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum. Masing-masing mempunyai tanggapan mengenai ciri-ciri yang sepatutnya ada pada Malaysia sebagai negara merdeka.

Beliau berkata menyambut kemerdekaan dengan mengadakan perhimpunan dan melaungkan ‘Merdeka’ adalah usaha baik kerana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan.

Tetapi apa yang perlu disedari ialah semangat kemerdekaan yang di dimiliki oleh generasi yang memperjuangkan kemerdekaan di hormati dan di junjung oleh generasi selepas kemerdekaan bukan hanya pada 31 Ogos malah setiap hari dengan menolak keganasan walaupun wujud perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati.

Persara tentera, Jeneral (B) Dato ‘Seri Zaini bin Hj Mohd Said, yang terkenal dengan kejayaannya menumpaskan kumpulan Al-Maunah yang merompak senjata di satu pengkalan tentera untuk menggulingkan kerajaan berkata pada masa ini kegembiraan kemerdekaan tidak lagi dirasai oleh rakyat kerana semua orang sibuk dengan agenda mereka sendiri.

Ancaman kepada keamanan dan kestabilan negara telah menjadi lebih luas. Pada awal kemerdekaan musuh dan sebab musabab yang boleh menggugat keselamatan negara mudah dikenal pasti.

Tetapi pada hari ini kestabilan negara dapat digugat dari pelbagai punca seperti pendidikan dan ekonomi.

Konflik, kemiskinan, kelaparan, kekurangan air dan pencemaran adalah antara penggugat keselamatan yang mendesak pada abad ke-21 ini.

Risiko ancaman keselamatan ini akan memuncak jika pembangunan negara terhalang. Dengan itu usaha menjaga keamanan dan keselamatan adalah menjadi tanggung jawab semua.

Walaupun terdapat unsur-unsur luar yang cuba untuk mengeksploitasi sebarang persepsi ketidakadilan dalam negara untuk mewujudkan kacau bilau, tetapi ia tidak akan membahayakan kestabilan negara selagi rakyat Malaysia kekal sebagai sebuah masyarakat yang matang dan ingat kepada bahaya konflik.

Konflik yang membawa kepada huru-hara akan merampas kebebasan yang merupakan suatu anugerah kemerdekaan.

Turut hadir pada acara tersebut adalah Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin, para dekan, pensyarah dan pelajar.