Satelit Mini Binaan ANGKASA UKM Akan Dilancar

KHAMIS, 30 OGOS 2012 16:23

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 29 Ogos 2012 – Malaysia akan melancarkan sebuah satelit kecil angkasa lepas atau “Nanosatellite” yang direka dan dibina oleh saintis Institut Sains Angkasa (ANGKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memantau ionosfera.

“Nanosatellite” (nanosat) adalah sebuah satelit dengan jisim antara satu dan 10 kg sahaja. Apa yang dilakukan ia akan bergabung dengan beberapa nanosat lain dalam satu pembentukan gabungan dengan sebuah satelit induk yang lebih besar untuk dapat berkomunikasi dengan stesen bumi.

Pengarah ANGKASA Profesor Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata pelancaran nanosatellite itu adalah suatu cara yang ekonomik untuk mendapatkan data mengenai bumi kerana kosnya lebih rendah berbanding kos yang mencecah puluhan juta ringgit untuk melancarkan sebuah satelit bersaiz besar. Kos menghantar seorang angkasawan pun adalah jauh lebih mahal hingga kira-kira RM27 juta.

Nanosat memerlukan enjin, sistem kawalan, komunikasi dan sistem pengiraan yang paling canggih.

UKM telah mendapat geran kerajaan sejumlah RM150,000 untuk membuat dan melancarkannya. Nanosatelit UKM itu adalah sebahagian daripada suatu projek konsortium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dipimpin pasukan penyelidikan Sepanyol. Beberapa negara lain digalak menyertai konsortium itu untuk berkongsi data melalui rangkaian satelit yang akan diusahakan.

Kaedah perkongsian demikian membolehkan negara membangun mampu melancarkan satelit pada kos yang munasabah dan boleh pula berkongsi maklumat dengan negara lain yang mengambil bahagian.

Tarikh dan tapak pelancaran masih belum diputuskan dengan beberapa negara, termasuk China dan Amerika Syarikat bersedia untuk menggerakkan nanosatelit UKM itu sebagai “penumpang” di atas satelit yang lebih besar dari negara lain.

Program itu mulanya dirancang dilaksanakan pada 2009 dengan menumpang satelit RazakSAT yang lebih besar dan juga milik Malaysia. Bagaimana pun rancangan itu tidak dapat diteruskan kerana beberapa masalah walaupun RazatSAT, berjaya dilancarkan. Tetapi isyarat daripada RazakSat kini tidak begitu jelas.

ANGKASA dan beberapa pasukan lain dari Malaysia telah mengesan pergerakan RazakSAT yang membawa kamera resolusi tinggi. Ia telah dilancarkan ke orbit rendah mengelingi bumi berhampiran khatulistiwa bagi membolehkan ia mengambil gambar di rantau khatulistiwa, termasuk Asia Tenggara.

Nanosat UKM ini direka untuk memantau perubahan dalam ionosfera hasil dari penomena nyalaan solar matahari. Prof Alauddin berkata banyak negara bimbang kerana matahari kini mengalami pencetusan nyalaan solar yang lebih kerap yang dikhuatiri boleh merosakkan peralatan komunikasi dan komputer di Bumi.

Satelit yang lebih besar biasanya menggunakan roket satu jenis bahan api atau dwi bahan api untuk pendorongan dan kawalan. Sistem itu adalah rumit dan memerlukan saiz permukaan lebih besar daripada yang terdapat pada satelit nanosat. Nanosat juga hanya memerlukan pendorongan elektrik, gas mampat, cecair berwap seperti butana atau karbon dioksida atau lain-lain sistem pendorongan yang mudah dan ekonomik.

Sistem elektrinok dalam nanosat perlu diuji dahulu supaya tahan lasak terhadap fenomena angkasa lepas seperti hampagas (vacuum), microgravity, kelampauan suhu (tinggi dan rendah), dan pancaran gelombang. Satelit kecil sangat berguna kerana saintis berpeluang menguji alat baru tanpa menanggung kos tinggi.

Dalam usaha untuk mengesan isyarat dari satelit, ANGKASA memerlukan kualiti isyarat yang sangat tinggi. Ini penting kerana isyarat, seperti gelombang bunyi, yang diterima oleh antena atau radar di stesen pengesan bumi mesti tulen dan jelas. Maka pemancar dalam satelit mestilah beroperasi dengan betul.

Selain itu antena dan parabola di stesen bumi mesti diselaraskan menjadi sangat sensitif dan tidak akan merosakkan isyarat. ANGKASA telah pun dilengkapi dengan bilik anechoic untuk menguji kualiti antena dan radar stesen bumi.

Bilik anechoic (yang tidak bergaung atau memantul bunyi) adalah sebuah bilik direka untuk menghentikan pantulan bunyi atau gelombang elektromagnet. Gelombang itu juga terlindung daripada sumber-sumber bunyi dari luar. Dengan itu isyarat dalam bentuk gelombang yang diterima dari satelit tidak tercemar dengan gelombang lain. Kebolehan inilah yang diperlukan bagi mengesan isyarat dari satelit.

Bilik anechoic, pada asalnya digunakan untuk menguji kualiti bunyi (gelombang bunyi). Ia adalah bilik yang disediakan untuk mengurangkan pantulan dan bunyi luaran dalam frekuensi radio dan telah pun digunakan untuk menguji antena, radar, atau gangguan elektromagnet.

Ia juga membolehkan penyelidik menguji frekuensi berbeda-berbeda tanpa gangguan dari gelombang radio yang dipantulkan. Bilik anechoic memudahkan ukuran parameter antena seperti corak sinaran dan mencirikan prestasi sistem antena RF. RF ialah frequensi yang paling tinggi yang boleh diguna untuk pancaran isyarat radio.

Bilik anechoic ANGKASA dibina dengan sokongan penyelidikan dari Akademi Pertahanan Jepun. Ruang bilik ini direka untuk menampung pelbagai saiz antena yang berbeza demgan mempunyai pelbagai frekuensi operasi. Ruang itu dibina di makmal mikrogelombang UKM.

Diasaskan pada 1 Ogos 2003, ANGKASA ditubuhkan sebagai pusat penyelidikan pelbagai disiplin yang menawarkan pendidikan peringkat siswazah dan penyelidikan dalam bidang Sains Angkasa dan Teknologi serta aplikasinya.

ANGKASA mendapat tumpuan pada 2007 dengan minat awam berikutan pemilihan Dr Sheikh Muzaphar Shukor Sheikh Mustapha untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia.

Dr Sheikh Muszaphar dan dua angkasawan lain telah dilancarkan ke orbit rendah bumi mencantumi dengan Stesen Angkasa Antarabangsa. Dr Sheikh Muszaphar kini adalah penasihat ANGKASA dan kerap memberi ceramah di seminar mengenai teknologi angkasa.