Staf PTM Juara Slim Shape

RABU, 01 OGOS 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Pix Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2012 – Selepas berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 15 KG dalam masa 4 bulan, Meor Sony Meor Sapelin dari Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah diisytiharkan sebagai juara dalam program Slim Shape, di majlis penutup program itu baru-baru ini.

Meor adalah salah seorang daripada 97 orang peserta dari kampus UKM di Bangi, Fakulti Sains Kesihatan di Kuala Lumpur dan Fakulti Perubatan di Cheras yang mengambil bahagian dalam Program Slim Shape singkatan bagi “Slim with Structured Health Activity, Psychology and Eating Programme”.

Program itu bertujuan membantu warga UKM untuk menurunkan berat badan dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Ia dijayakan dengan geran dari Pejabat Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) menggunakan kaedah holistik untuk menurunkan berat badan. Peserta tidak perlu mengamalkan diet yang ekstrem untuk mengurangkan berat badan.

Dengan menggunakan kaedah mengira kalori dalam makanan, mengawal jumlah makanan yang diambil digabungkan dengan senaman yang menghiburkan, peserta dapat menurunkan berat badan mereka.

Timbalan Naib Canselor (HEJIM), Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill berkata program itu patut diperluaskan kepada peringkat komuniti untuk meningkatkan kesedaran ramai terhadap gaya hidup yang sihat.

Beliau berkata tanggung jawab untuk melindungi kesihatan keluarga terletak di tangan individu itu sendiri.

Ketua Program, Dr Zaharah Abdul Manah berkata usaha menurunkan berat badan boleh dilakukan dengan mengamalkan diet yang sihat serta senaman.

Tidak siapa pun perlu berhenti daripada mengambil makanan kegemaran mereka sekiranya ia tidak memudaratkan. Apa yang perlu dilakukan adalah mengurangkan pengambilan makanan dan melakukan senaman secara berterusan.

Beliau tidak mengesyorkan makanan digantikan dengan minuman kesihatan kerana ia boleh menyebabkan penurunan metabolisme apabila kalori menurun secara drastik.

Apabila makanan diambil kembali, ia boleh menyebabkan kenaikan berat badan secara mendadak, ada kalanya ia akan menyebabkan peningkatan yang lebih daripada berat asal sebelum diet dimulakan.

Turut hadir di majlis penutup program tersebut Prof Madya Dr Hidayahtulfathi Othman, Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Sains Kesihatan, para peserta dan warga UKM.