Angkasawan Negara Berharap Angkasawan Malaysia Selanjutnya Adalah Seorang Saintis Wanita

RABU, 31 OKTOBER 2012 17:24

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 30 Okt, 2012 – Angkasawan Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie berharap seorang saintis wanita akan terpilih untuk dihantar ke angkasa lepas untuk melakukan penyelidikan yang berguna.

Beliau memberitahu kira-kira 200 orang murid sekolah menengah bahawa beliau inginkan angkasawan itu melakukan eksperimen pada tempoh yang lebih lama di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ketika memberi syarahan umum bersama angkasawan Amerika Syarikat, Dr Daniel T Barry di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa Program Angkasawan tidak harus dilihat sebagai peluang melakukan gimik di angkasa lepas.

Syarahan umumnya atas tajuk ‘Mencapai Impian’ dianjurkan oleh Institut Sains Angkasa (ANGKASA) UKM dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bersempena dengan Sidang Mesyuarat  Antara Sains Global dan Majlis Penasihat Inovasi (GSIAC). Beliau adalah Felo Utama di ANGKASA.

Ditanya apakah angkasawan seterusnya harus dari UKM beliau berkata baginya itu tidak penting. Yang penting peluang tidak ternilai untuk pergi ke orbit bumi boleh digunakan dengan bijak dan tidak dilihat sebagai perjalanan untuk melakukan perkara remeh. Perkara-perkara lucu yang muncul dalam video adalah hasil suasana tanpa graviti di angkasa dan tidak dilakukan untuk hiburan.

Umpamanya, Dr Sheikh Muszaphar merasa agak kecewa bahawa penjelajahannya dipaparkan oleh media tempatan sebagai peluang untuk membuat teh tarik atau bermain congkak. Beliau menerangkan tanggapan itu tidak tepat kerana ada tugas yang jauh lebih penting perlu dilakukan dalam tempoh 11 hari di angkasa lepas.

Beliau berharap pencapaian program angkasa dapat memberi inspirasi kepada murid sekolah untuk cuba sedaya upaya dalam pembelajaran mereka untuk memasuki aliran sains.

Kerajaan Malaysia menubuhkan Program Angkasawan Malaysia bagi memilih calon angkasawan yang sesuai. Seramai 11,275 calon mendaftarkan diri dengan pelbagai kelayakan akademik, ketahanan fizikal, emosi dan mental.

Program itu berjaya membantu saintis tempatan mengembangkan eksperimen penghabluran protin, sehingga kini.

Adalah penting, katanya, bagi remaja bercita-cita tinggi dan tidak merasa gentar dengan usaha demikian.

Mengenai filem yang beliau lakoni, Dr Sheikh Muszaphar teruja kerana diberi peluang untuk memaparkan pengalamannya di angkasa lepas.

Filem berjudul ‘N01 – 10 HARI: 21 JAM: 14 MINIT DI PINTU AJAL’, akan ditayangkan pada bulan Mac tahun depan.

Ia diarahkan oleh suteradara terkenal Imran Ismail yang masyhur dengan arahan filem ‘Jalang’, ‘Datin Ghairah’ dan ‘Cassandra’. Filem itu akan menggunakan animasi digital, imej tiga dimensi dan video yang beliau rakamkan sendiri di angkasa lepas.

Sehingga kini Malaysia adalah antara kumpulan elit 39 negara yang menghantar orang ke angkasa apabila Datuk Dr Sheikh Muszaphar menjadi sebahagian daripada pasukan Ekspedisi 16 dalam kerjasama dengan Rusia pada Oktober 2007.