Canselor UKM Berbangga Keupayaan UKM Menggarap Unsur Pribumi Hingga Mencapai Kejayaan

SABTU, 20 OKTOBER 2012 15:33

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK, Unit Foto Penerbit UKM

BANGI, 20 Okt 2012 – Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir berbangga dengan kebolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggarap unsur-unsur peribumi sebagai landasan dan identiti hingga mampu berada di persada antarabangsa sebaris universiti ternama dunia.

Canselor UKM itu memberi tahniah kepada pimpinan dan keseluruhan warga universiti yang telah berganding bahu menyerlahkan namanya menerusi pelbagai kejayaan, jaringan dan kepakaran bertaraf dunia.

Bertitah di Majlis Konvokesyen ke 40 UKM di sini hari ini, baginda berkata “seandainya penarafan universiti yang dilakukan oleh agensi antarabangsa, seperti QS World University Rankings, dapat dijadikan petunjuk mengenai keupayaan sesebuah universiti, kita boleh berbangga dengan kedudukan UKM terkini, iaitu di tangga 31 daripada ribuan universiti di dunia yang berusia di bawah 50 tahun.

“Bahkan dalam beberapa disiplin ilmu, UKM berada pada kedudukan yang lebih baik,“ titah baginda yang juga Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda gembira kerana Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin akan menerajui Persatuan Universiti-universiti Asia Pacifik yang mempunyai 200 buah universiti sebagai ahli pada Disember ini nanti.

Baginda mengingkatkan graduan yang menerima watikah kelulusan mereka dalam upacara konvokesyen yang akan berlangsung hingga Selasa depan supaya sentiasa mengenangkan budi universiti apabila sudah berkhidmat dalam pelbagai bidang nanti.

“UKM telah memberi pendidikan terbaik kepada anda. Justeru, melangkahlah dengan yakin serta kesedaran bahawa anda adalah alumni UKM. Sejauh mana anda pergi seringlah kembali untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada universiti ini. Peliharalah nama baik anda, ibu bapa, guru, universiti dan negara.”

Titah Baginda apabila sampai masanya mereka harus mencurah bakti dengan penuh tulus dan ikhlas dengan mengingatkan mereka bahawa proses pembelajaran tiada hentinya.

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah dan justeru itu mereka patut tanamkan keazaman untuk terus mencari ilmu serta meneroka kehidupan yang sentiasa menduga kedewasaan, kematangan dan keupayaan masing-masing.

Baginda turut memberi tahniah kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Zawawi Ismail atas pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM (LPU) yang baru.

“Beta percaya, dengan pengalaman sebagai pemimpin akademik dan penglibatan dalam dunia korporat, Profesor Zawawi mampu mendorong UKM terus melangkah gagah menjadi universiti ulung, mencapai misi besarnya menyumbang kepada kemajuan negara.”

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Zulkifli A. Hassan, Pengerusi LPU yang terdahulu atas sumbangan beliau kepada UKM.