Hollywood Bertanggungjawab Memburukkan Arab Dan Islam

RABU, 10 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Okt 2012 –Pusat pembikinan filem Amerika, Hollywood telah meresapkan imej buruk orang Arab dan Islam ke dalam sanubari rakyat Amerika dan dunia dengan mengambarkan mereka sebagai ganas, tidak boleh bertolak ansur dan tidak mampu mengawal diri.

Profesor pelawat dari California State University, Prof Dr Sophia Pandya, seorang pakar kajian Agama, berkata orang Arab dan Islam telah ditonjolkan sebagai karektor jahat sejak awal kewujudan industeri filem itu lagi daripada rancangan kartun seperti Aladdin sehinggalah ke filem blockbusternya.

Berucap di wacana anjuran Institut Kajian Asia Barat (IKRAB) bersama Institut Islam Hadhari (HADHARI) dan Pertubuhan Dialog Turki beliau berkata orang Arab dan Islam di gambarkan bermartabat rendah dari manusia biasa dan kejam malah adalah suatu ancaman yang perlu ditakuti masyarakat Barat.

Gambaran demikian itu telah memupuk perasaan kebencian terhadap orang Islam dan Arab semenjak sekian lama, katanya.

Apa yang menyedihkan adalah ummat Islam sendiri turut membeli dan menonton filem-filem itu yang mengambarkan orang Islam dengan imej yang amat tidak munasabah.

Orang Islam menonton filem demikian kerana gambaran yang cuba ditonjolkan tidak tepat dan amat melucukan kerana jauh menyimpang dari kenyataan. Bagaimana pun imej rekaan ini dianggap sebagai benar oleh mereka yang bukan Islam khususnya di Barat.

Dakwaannya itu dibuktikan dengan sebuah dokumentari yang mengejutkan bagaimana Hollywood telah menghina orang Arab dan Islam sejak berdekad lamanya bertajuk Reel Bad Arabs- How Hollywood Vilifies People oleh Jack Shaheen.

Filem dokumentari itu mengumpulkan babak-babak yang menggambarkan penghinaan yang bersifat perkauman dan cacian terhadap orang Arab dari lebih seribu buah filem.

Beliau berkata ungkapan melampau demikian kiranya dilakukan ke atas kaum Yahudi ataupun bangsa kulit hitam di Amerika akan  mendapat tentangan hebat.

Prof Pandya menghuraikan bahawa pemikiran negatif demikian datang dari penjajah Eropah yang pernah menjajah tanah Arab di Asia Barat dan Utara Afrika.

Waktu berlakunya revolusi industri di Eropah, kuasa-kuasa Eropah amat dahagakan bahan mentah hingga membawa mereka menjajah kawasan itu untuk merompak hasil kekayaan kawasan itu secara sistematik.

Mereka berhujah kononnya bangsa Arab adalah bangsa yang kejam yang perlu dijajah untuk di modenkan. Beliau merujuk kepada buku mendiang Edward Said Orientalism yang menghuraikan bagaimana kuasa penjajah telah menggambarkan orang Arab sebagai ancaman yang perlu ditakuti.

Orang Arab dikatakan patut di jajah dan dikawal walaupun menggunakan kekerasan.

Persepsi bahawa orang Arab dan Islam adalah manusia jahat telah pun tertanam dalam masyarakat barat dan dipupuk pula oleh Hollywood.

Beliau memetik kata-kata Martin Luther King mengenai keamanan, ia itu: “Keamanan bukanlah tidak wujudnya ketegangan, tetapi apakah terdapat keadilan.”

Apa yang nyata keadilan tidak diberikan kepada orang Arab dan Islam dan malangnya gambaran demikian oleh Hollywood akan berterusan.

Hadir di wacana tersebut, Pengarah Islam Hadhari, Professor Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman, pensyarah dari beberapa institusi pengajian tinggi dan orang ramai.