Kaum Asli Perlu Dibawa Berunding Sebelum Sesuatu Projek Melibatkan Kehidupan Mereka Dilaksanakan

KHAMIS, 18 OKTOBER 2012 18:19

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Okt 2012 – Orang Asli dan Peribumi Malaysia harus dirujuk atau dirunding dahulu sebelum sebarang tindakan diambil yang membabitkan kehidupan mereka dan hutan rimba di mana mereka mendiami.

Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Emeritus Dato’ Dr Hood Salleh berkata kebanyakan kaum Orang Asli di Semenanjung merasa tidak puas hati apabila mereka diarah berpindah dari tempat kediaman asal semata-mata untuk pembangunan yang mereka tidak memberi faedah kepada mereka.

Beliau berkata tanggapan ramai bahawa kaum Asli di Semenanjung gemar berpindah-randah sebagai adat adalah tidak benar sama sekali.

Orang Asli juga bimbang hak mereka akan terjejas apabila bahan-bahan semula jadi dari hutan rimba di mana mereka mendiami, dijadikan produk yang hakcipta dimiliki oleh pihak lain.

Beliau telah menyampaikan Syarahan Tun Seri Lanang anjuran Perpustakaan Tun Seri Lanang di sini hari ini. Keadaan demikian juga berlaku di kalangan Peribumi di Sabah dan Sarawak walaupun penyelidikannya lebih banyak ditumpukan di Semenanjung, tambah beliau.

Prof Hood berkata pada umumnya masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu mempunyai pandangan yang sukar difahami mengenai kaum Asli. Ada masanya Orang Asli dianggap mundur dan ketinggalan zaman, bagaimanapun orang Melayu juga segan dengan mereka kerana kononnya mereka mempunyai kuasa batin atau ilmu ghaib.

Hakikatnya ada kalanya Orang Asli rasa terdesak menerima perubahan dan tersinggung perasaan kerana disangkakan kurang cerdik oleh masyarakat luar. Ini menimbulkan perasaan syak wasangka terhadap apa-apa tawaran yang dibuat oleh pihak berkuasa mengenai pembangunan.

Malahan projek besar yang secara telus dilulus oleh kerajaan negeri dan persekutuan juga menjadi isu walaupun ia berlaku pada masa lampau.

Beliau menyebut pembangunan dan perkembangan infrastruktur UKM pada tahun-tahun 1970an yang membawa perubahan kepada kaum Asal di sekitar Bangi pada tahun 1974 apabila kawasan kediaman mereka diambil alih untuk bangunan-bangunan baru UKM.

 

Kerajaan juga telah mengubal satu Akta pada tahun 1974 yang mensyaratkan pemindahan mandatori orang asal di kawasan Hulu Langat untuk membangunkan UKM.

Orang Asli di situ mendakwa mereka tidak diberi pertimbangan ketika diarah berpindah ke tempat lain. Walaupun diberi pampasan dan perumahan baru, mereka berasa kecil hati kerana kawasan hutan rimba kediaman asal mereka mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan harian mereka.

Prof Hood juga memberi contoh beberapa projek di sekitar Tasik Chini di Pahang yang mengabaikan kepentingan kaum Asli Jakun di situ. Mereka mendapati sumber pendapatan terjejas akibat perlombongan Manganese di situ yang diusahakan dengan restu orang kenamaan tertentu di Pahang.

Ada juga pihak yang menceroboh kawasan paya yang sekian lama diperuntukkan kepada penduduk asal. Mereka bergantung pada kegiatan menangkap ikan tetapi sumber ikan telah merosot kerana perlombongan itu hingga menjejaskan pendapatan mereka.

Prof Hood telah mengundang seorang ibu dari puak Jakun yang tinggal berdekatan Tasik Chini. Puan Norhayati Abdullah, 47,  seorang pengusaha kecil kraf tradisional Kaum Jakun dari kawasan itu menjelaskan keadaan yang kaumnya alami sekarang.

 

Beliau berkata kaum Asli di sana tidak ada pilihan lain apabila orang luar datang dan mengubah gaya hidup mereka.

Ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak itu khuatir dengan usaha syarikat tertentu yang cuba mendapatkan hak harta intelek untuk bahan-bahan yang diperolehi daripada tumbuhan di sekitar Tasik Chini untuk tujuan perubatan moden.

Kiranya syarikat itu berjaya mendapatkan hak cipta terhadap tumbuhan dan bahan yang terdapat di situ, perniagaan Puan Norhayati sebagai penghasil penawar tradisional yang berasas ramuan turun temurun akan terjejas. Mereka tidak mahu dipaksa memberi tahu khasiat ramuan yang mereka ketahui tanpa rela hati.

Prof Hood memberitahu bahawa beberapa kajian yang dilakukan oleh UKM dan universiti penyelidikan lain menunjukkan kaum Orang Asli masih ketinggalan dan dalam kategori miskin tegar. Bagaimanapun kerajaan menafikan kesimpulan ini.

Beliau kini sedang menjalankan suatu projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang 2010-2015 yang melibatkan beberapa universiti tempatan lain dan Monash University, Australia untuk mengkaji bahan DNA masyarakat Kaum Asli di Semenanjung.