Kawasan Arkeologi Mesti Dikawal Dari Penceroboh

RABU, 17 OKTOBER 2012 15:04

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman dan Ihsan Jabatan Muzium Malaysia

BANGI, 15 Okt 2012 – Kawasan arkeologi negara mesti dilindungi dan dikawal rapi kerana peninggalan purba yang berharga boleh menarik perhatian penceroboh yang mahu meraih keuntungan dari penemuan itu.

Professor Emiritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman berkata pihak berkuasa perlu lebih berwaspada terhadap percubaan sebarang pihak yang mahu meraih harta karun dari tapak-tapak bersejarah baik di bumi mahu pun di laut.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM itu membuat cadangan itu di Seminar Antarabangsa Arkeologi, Sejarah dan Budaya di Alam Melayu yang berlangsung di sini hari ini. Ia dianjurkan oleh ATMA.

Lebih 20 orang penyelidik dari tanah air dan Indonesia membentang hasil kajian mereka di seminar dua hari itu yang dirasmikan oleh Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Samian.

Prof Nik Hassan Shuhaimi bimbang negara akan kehilangan warisan sejarahnya kerana terdapat pihak yang sanggup membawa artifak ke luar negara tanpa pengetahuan kerajaan.

Walaupun kini sudah wujud perjanjian dan undang-undang mengenai perkongsian hasil penemuan tapak kapal purba yang karam di laut, ia tidak dapat menjamin keselamatan barangan yang dijumpai.

Beliau mencadangkan penyelam-penyelam tidak dibenarkan bermalam atas kapal tetapi kembali ke pantai apabila kerja dihentikan.

Beliau bimbang mendengar khabar kononnya harta karun emas ditemui di tapak Lembah Bujang di Kedah pada tahun 2009. Kawasan itu adalah pusat kerajaan Langkasuka lebih 1,000 tahun lalu.

Beliau telah ditunjuk sekeping gambar yang kononnya menunjuk perhiasan yang kelihatan seperti emas ditemui di Lembah Bujang. Bagaimana pun dakwaan itu diragui kerana pakar-pakar arkeologi dan pihak berkuasa di daerah itu tidak pernah mengetahui adanya penemuan demikian itu.

 

Namun demikian keselamatan di kawasan tapak arkeologi perlu diketatkan kerana barangan lama yang diperbuat daripada batu pun berharga kerana menjadi sebahagian daripada warisan sejarah negara.

Prof Nik Hassan Shuhaimi berkata arkeologi, sejarah dan budaya mempunyai pengaruh amat besar dalam pembangunan bangsa dan negara. Ketiga-tiga bidang kajian itu adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Selain daripada memanfaatkan warisan arkeologi, sejarah dan budaya boleh meningkatkan jati diri dan pembangunan ekonomi.

Sejarah dan budaya boleh pula dijadikan produk pelancongan sambil menyorot kepada Melaka. Walaupun belum ditemui bekas tinggalan prasejarah atau protosejarah, namun Melaka berjaya membangunkan banyak muzium. Ia juga memiliki seni bina zaman Belanda, Portugis dan British.

Beliau menggesa negeri lain yang memiliki tapak warisan arkeologi dan sejarah dan kaya dengan budaya supaya meningkatkan usaha untuk menggalakkan aset demikian diusahakan untuk menarik pelancong.

Negeri yang kaya dengan dengan warisan arkeologi sejarah seperti Pahang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi untuk meraih keuntungan daripada program pelancongan.

Beliau juga percaya jika Tasik Chini di Pahang dapat dipulihkan ia boleh dijadikan satu tarikan pelancongan.