Kebebasan Akademik Tertakluk Kepada Kod Etikanya

ISNIN, 29 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 Okt 2012 – Siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diingatkan bahawa kebebasan akademik tidak bermakna kebebasan tanpa kawalan tetapi adalah tertakluk kepada kod etika untuk juga bersopan dan berdisiplin.

Kebebasan itu tertakluk pula kepada undang-undang dan peraturan yang sedia ada, demikian kata Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin semasa menyampaikan watikah perlantikan kepada 28 orang anggota baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM hari ini.

Beliau mengingatkan pelajar bahawa kebebasan akademik tidak harus disalah tafsir sebagai hak untuk memfitnah, menghina, mengugut, menakut-nakutkan dan memaksa orang lain untuk percaya pada sesuatu pandangan atau idealisme tertentu.

Prof Sharifah Hapsah berkata universiti memberi pelajar kebebasan akademik untuk bercakap dan memberi pendapat terhadap idealisme yang mereka pegang.

Tetapi idealisme itu tidak harus dipenuhi sentimen, hasutan, dan pemahaman yang tidak berpunca daripada kajian atau penyelidikan mereka sendiri. Cita-cita dan pendapat mestilah pandangan sendiri bukannya diambil daripada orang lain.

Beliau berkata pelajar di beri kebebasan untuk bercakap dan memberi pandangan tetapi harus berdasarkan kepada penyelidikan secukupnya sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

 

Dan apabila memberikan pandangan perlu pula berani mempertahankannya tanpa takut hasutan, ugutan atau dipersoalkan. Itulah kebebasan akademik, tambah Prof Sharifah Hapsah.

Kebebasan, katanya, digalakkan kerana ia menyuburkan kreativiti akademik dan inovasi. Tanpa kebebasan untuk berfikir seseorang itu tidak boleh menjadi kreatif dan kreativiti demikian itulah yang menyuburkan institusi dan negara.

Beliau mengingatkan anggota MPPUKM bahawa apa-apa tindakan yang mereka buat mesti dilakukan dalam konteks sebuah universiti awam yang menerima bantuan kewangan dari kerajaan, ia itu pembayar cukai.

Wang yang diperuntukan itu digunakan untuk menjalankan operasi universiti dan untuk menampung subsidi yang diberikan kepada semua pelajar IPTA. Yuran yang pelajar IPTA bayar adalah kecil kerana jumlah terbesar dari kosnya dibiayai kerajaan.

Sokongan kewangan kerajaan dan masyarakat mewujudkan tanggungjawab kepada masyarakat dan merupakan satu kontrak sosial untuk memenuhi keinginan masyarakat, yang inginkan modal insan yang berpengetahuan, kompeten, sopan dan berintegriti, kata Prof Sharifah Hapsah.