Kesihatan Awam Perlu diterajui Pengamal Perubatan dan Kesihatan

SELASA, 09 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 5 Okt 2012 – Pengamal perubatan disaran lebih aktif untuk menerajui aktiviti kesihatan awam dan tidak melepaskannya kepada pihak yang melibatkan diri dalam usaha itu bukan kerana mahu membaiki keadaan tetapi kerana mempunyai kepentingan sendiri.

Dato’ Narimah Awin dari Pejabat Perwakilan Tenggara Asia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pengamal perubatan tidak harus mengabaikan kedudukan itu demi kepentingan kesihatan awam.

Kepimpinan yang bersifat kolaboratif juga diperlukan dalam sektor perubatan awam untuk manfaat manusia di seluruh dunia.

Beliau berucap di Persidangan Kesihatan Awam Antarabangsa  di sini hari ini. Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), United Nations University and Persatuan Pakar Kesihatan Malaysia untuk membincangkan isu kepimpinan dalam sektor perubatan awam.

Dato’ Narimah berkata sektor perubatan awam berhadapan dengan pelbagai penyakit dan masalah perubatan yang dihadapi oleh orang awam dan perlu diterajui mereka yang mengetahui selok belok perkembangannya.

Beliau juga menyorot kepada kepimpinan perubatan awam di peringkat antarabangsa yang sering diterajui pihak yang mempunyai kemampuan kewangan yang besar hingga sanggup membiayai hampir 70 peratus daripada dana pertubuhan itu.

Hal ini tidak akan menimbulkan persoalan kiranya penderma itu jujur untuk membantu kesihatan awam tanpa mempunyai hasrat dan kepentingan lain.

Kepimpinan pertubuhan kesihatan awam, katanya, perlu diterajui mereka yang penuh dedikasi dan mempunyai minat yang tinggi terhadap kepentingan orang ramai.

Pengamal perubatan demikian ini mempunyai misi dan tujuan dan tidak segan untuk mengorbankan keselesaan sendiri demi kepentingan kesihatan awam.

Beliau juga menyarankan pengamal dan ahli perubatan dan kesihatan berganding bahu bekerjasama menjalankan penyelidikan dalam bidang itu bagi manfaat bersama untuk kepentingan kesihatan awam.

Hadir di upacara pelancaran itu ialah Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali, pengamal perubatan dan peserta dari rantau Asia.